KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mengambil maklum mengenai permohonan Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) bagi semakan kehakiman berhubung isu pemberian khas peruntukan 40 peratus kepada Sabah di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri melihat inisiatif SLS daripada sudut positif yang tidak berpihak dan berpolitik dalam kepentingan bersama aturan pelembagaan ketika Sabah terlibat dalam pembentukan Malaysia pada 1963.

"Kerajaan Sabah telah dan akan terus dan bersungguh-sungguh menuntut hak 40 peratus serta lain-lain hak dan kepentingan Sabah dengan Kerajaan Persekutuan," katanya dalam kenyataan ringkas pada Jumaat.

SLS pada Khamis memfailkan satu semakan kehakiman ke atas isu pemberian khas peruntukan 40 peratus kepada Sabah di bawah Perlembagaan Persekutuan.

BACA: SLS mohon semakan kehakiman ke atas isu pemberian khas kepada Sabah

Permohonan itu difailkan firma guaman J Marimuttu and Partners yang menamakan Kerajaan Persekutuan sebagai responden.

Berikutan pengumuman pada 14 April mengenai persetujuan dicapai antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah, SLS memohon satu pengisytiharan antaranya bahawa kegagalan Kerajaan Persekutuan untuk melakukan kajian semula kedua dalam 1974 dengan kerajaan negeri merupakan satu kemungkiran dan menyalahi tanggungjawabnya di bawah Perkara 112D, Klausa (1), (3) dan (4) Perlembagaan Persekutuan.

Pada 14 April lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri memaklumkan Kerajaan Pusat bersetuju menaikkan emberian khas kepada negeri Sabah menerusi pemberian khas baharu sebanyak 4.7 kali ganda daripada RM26.7 juta kepada RM125.6 juta bagi tahun 2022.

BACA: Selepas 53 tahun, Sabah akan terima kenaikan pemberian khas setiap tahun - PM

BACA: Pemberian khas bantu pacu pembangunan, beri manfaat kepada Sabah - Hajiji

Amaun itu juga akan terus meningkat setiap tahun bagi tempoh 2023-2026 mengikut kadar kenaikan yang dipersetujui bersama.

Ismail Sabri berkata, persetujuan ini merupakan satu petanda penting memandangkan kali terakhir kajian semula berkenaan dibuat pada 1969.

Selain itu, Hajiji dalam kenyataan mengalu-alukan kenaikan empat kali ganda Geran Khas Kerajaan Persekutuan mulai tahun ini.

Katanya, pemberian khas itu adalah langkah yang baik untuk pembangunan Sabah sementara kerajaan negeri akan terus menuntut 40 peratus seperti yang dipersetujui di bawah Perjanjian Malaysia 1963.