Skip to main content

Malaysia

Kerajaan sedia bincang dengan industri tanggung kos latihan veteran ATM - Mohamed Khaled

Menteri Pertahanan, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Sumber Manusia,YB Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan akan menghadiri dan seterusnya menyaksikan Majlis Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) - AWANI
Mohamed Khaled berkata langkah berkenaan membolehkan pihak industri melatih anggota berasaskan kemahiran sedia ada sebelum mempertimbang penawaran pekerjaan secara tetap selepas tamat tempoh peralihan. -Gambar Astro AWANI/Shahir Omar

SUNGAI BULOH: Kerajaan bersedia berbincang dengan pihak industri bagi membantu menampung kos latihan sekiranya diperlukan, sebagai langkah memastikan program latihan kemahiran untuk anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bakal bersara dapat dilaksanakan secara lebih berkesan. 

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pendekatan itu selaras dengan usaha kerajaan memperkukuh program peralihan kerjaya dengan memberi peluang kepada anggota yang bakal bersara memasuki industri lebih awal untuk menjalani latihan secara langsung di syarikat berkaitan. 

Advertisement

Menurut beliau, langkah berkenaan membolehkan pihak industri melatih anggota berasaskan kemahiran sedia ada sebelum mempertimbang penawaran pekerjaan secara tetap selepas tamat tempoh peralihan. 

"Anggota ini boleh terus masuk ke industri dan dilatih syarikat berkaitan. Mereka mempunyai kemahiran tertentu dan apabila memasuki industri, kemahiran itu boleh dimantapkan melalui latihan yang lebih khusus.

"Melalui proses ini, pihak industri juga boleh menilai (keupayaan) mereka sebelum membuat keputusan untuk menawarkan pekerjaan kepada mereka," katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara PERHEBAT, JHEV ATM dan PERKESO di Kompleks PERHEBAT, di sini pada Selasa. 

Pemeteraian dokumen MoU diadakan antara Ketua Pengarah PERHEBAT, Datuk Amir Md Noor; Ketua Pengarah JHEV ATM, Mejar Jeneral Datuk Semaon Marjuki dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed. 

Mengulas lanjut Mohamed Khaled berkata, anggota yang mengikuti latihan dalam tempoh peralihan sebelum bersara masih menerima pendapatan daripada kerajaan, sekali gus membolehkan pihak industri melatih mereka tanpa perlu menanggung kos gaji pada peringkat awal. 

"Apabila mereka mula memasuki industri dalam tempoh peralihan sebelum bersara, mereka masih menerima pendapatan daripada kerajaan. 

"Jadi industri sebenarnya tidak perlu membayar gaji pada peringkat awal, tetapi pada masa sama mereka mendapat tenaga kerja yang boleh dilatih dalam operasi industri,” katanya. 

Menurutnya, kira-kira 5,000 veteran ATM bersara setiap tahun dan sebahagian besar daripada mereka terdiri daripada anggota lain-lain pangkat yang masih berada dalam lingkungan umur produktif sekitar 39 hingga 42 tahun. 

Beliau berkata, keadaan itu membuka peluang besar kepada industri untuk memanfaatkan pengalaman dan kemahiran mereka bagi memenuhi keperluan tenaga kerja negara. 

Sementara itu, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan berkata, menerusi kolaborasi strategik itu, PERKESO menggerakkan enam inisiatif utama bagi merealisasikan sasaran 2,500 pendaftaran, dengan penempatan melebihi 1,000 veteran. 

Usaha itu, katanya, merangkumi pengesahan identiti veteran secara rasmi oleh JHEV dan PERHEBAT bagi membolehkan akses eksklusif kepada peluang pekerjaan, di samping integrasi data antara portal MYFutureJobs dan Veteran Integrated Benefit System (VIBES) bagi memperkukuh ketepatan pemadanan kerjaya. 

"Pengambilan mereka bukan sahaja membekalkan industri dengan tenaga kerja kompeten, malah langkah strategik negara dalam mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing," katanya.

Menurutnya, bagi tempoh 2020 hingga 2025, seramai 5,530 veteran berjaya ditempatkan dalam pelbagai sektor pekerjaan.

Must Watch Video