Empat sekeluarga nyaris maut selepas kereta yang dinaiki mereka terbakar secara tiba-tiba pagi ini.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 10 pagi tadi di sebuah kondominium dekat Sri Hartamas, di sini.

Ketika kejadian, mangsa S. Kathireson berkata dia sedang mengundurkan kereta jenis Mercedes 300 SE miliknya di tempat parkir kondominium berkenaan.

Terkejut dengan kebakaran itu, dia bertindak pantas dengan menyelamatkan isteri dan dua orang anaknya sebelum menelefon pihak bomba.

"Semasa mengundurkan kereta, saya terdengar bunyi seakan letupan kecil, kemudian ternampak api," ujar Kathireson.

Empat anggota dari Pasukan Bomba dan Penyelamat Sri Hartamas yang diketuai Pegawai Abu Hassan Ibrahim tiba 10 minit selepas menerima panggilan kecemasan.



Mereka yang turut dibantu jentera pasukan Bomba dan Penyelamat Jinjang berjaya memadamkan kebakaran dalam tempoh 10 minit.

"Kami berjaya kawal api daripada merebak ke kenderaan lain, hanya sebuah kereta berhampiran mengalami kerosakan minima," kata Abu Hassan.

Sementara itu dianggarkan hampir 80 peratus kenderaan milik Kathireson musnah dalam kebakaran itu.

Kereta, rentung
Dianggarkan hampir 80 peratus kenderaan milik Kathireson musnah dalam kebakaran itu. Foto Astro AWANI/ASHWAD ISMAIL

Berdasarkan siasatan awal forensik bomba, kebakaran bermungkinan berpunca daripada litar pintas dan sistem pendawaian kenderaan terbabit.

Bagaimanapun punca sebenar kejadian sedang disiasat.