MELAKA: Kerjasama strategik pelbagai pihak merangkumi kementerian, kerajaan negeri, penggiat industri dan sokongan rakyat penting dalam tempoh tiga tahun ini bagi menjayakan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM 2026).

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing berkata justeru, semua persiapan berstrategi dan efisien untuk mengaktifkan kempen VM 2026 perlu dimulakan bagi memastikan ia berjaya agar mampu memberi impak ekonomi secara optimum sekali gus memartabatkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama global.

Beliau berkata ia penting memandangkan kementeriannya menyasarkan kehadiran 35.6 juta pelancong asing sempena VM 2026 dengan anggaran perbelanjaan domestik sebanyak RM147.1 bilion.

"Malaysia amat kaya dengan tarikan pelancongan termasuk keindahan alam semula jadi, budaya dan kesenian yang pelbagai namun malangnya, terdapat sesetengah negeri yang memandang remeh perkara ini serta tidak mengambil peluang untuk mengoptimumkan sumber pelancongan yang ada bagi memajukan industri ini.

"Mungkin ada yang tidak sedar industri pelancongan juga antara penyumbang terbesar kepada ekonomi negara malah lebih membimbangkan apabila tarikan pelancongan domestik turut bergerak perlahan sehingga dilihat tidak mempunyai daya saing berbanding negara jiran," katanya.

Tiong berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Tahun Melawat Melaka (TMM 2024) dan Sambutan Ambang Tahun Baharu 2024 di Pengkalan Rama di sini yang turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Mohd Rustam, Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan barisan kepimpinan negeri.

Ia turut disiarkan secara langsung ke Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi, China yang mempunyai 58 juta penduduk.

Tiong juga berkata Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya amat mengalu-alukan inisiatif Kerajaan Negeri Melaka yang menganjurkan TMM 2024 dengan menyediakan lebih 70 acara bagi menyambut kedatangan pelancong.

Beliau berkata pihaknya menjalin kerjasama strategik dengan Kerajaan Negeri Melaka dalam penganjuran acara mega bertaraf antarabangsa iaitu Hari Pelancongan Sedunia dan Persidangan Pelancongan Sedunia dari 27 hingga 29 Sept 2025 yang dilihat mampu memberi impak positif kepada negara.

Ab Rauf dalam ucapannya pula berkata penganjuran sambutan Ambang Tahun Baharu 2024 bersekali dengan pelancaran TMM 2024 mampu merancakkan kembali sektor pelancongan yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Beliau juga berkata kerajaan negeri mengambil inisiatif bagi membangunkan semula sektor pelancongan menerusi pelbagai strategi, inisiatif dan gerak kerja yang selaras dengan hala tuju pembangunan Melaka untuk muncul sebagai antara tiga destinasi pelancongan popular di Malaysia serta terunggul di dunia.

-- BERNAMA