Bernama dan RTM diarah menyerahkan kertas kerja cadangan penggabungan kedua-dua organisasi itu menjelang hujung bulan ini, sebelum keputusan muktamad mengenainya dibuat dalam masa terdekat, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo.

Menyifatkan penggabungan itu agak 'kompleks', beliau bagaimanapun menjamin semua aspek penting antaranya jumlah pekerja, kos dan saluran berita akan diteliti sepenuhnya sebelum apa jua keputusan dibuat.

"Misal kata kalau kita ada gabungan, siapa bertanggungjawab kumpul maklumat dari segi berita, siapa bertanggungjawab dari segi siapkan proses siaran berita,

"Ia juga melibatkan soal kita ada lebihan tenaga kerja...satu perkara penting untuk saya," katanya selepas selesai lawatan kerja ke tapak pembangunan Media City, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Datuk Zulkefli Salleh, Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran Strategik RTM, Abdul Muis Sheffi dan Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM Berhad, Datuk Seri Syed Faisal Albar.

Gobind turut menjelaskan setakat cadangan penggabungan diumum hujung bulan lepas, beberapa siri perbincangan mengenainya telah dilaksanakan, dengan kedua-dua entiti media di bawah pengurusan Kementerian Komunikasi dan Multimedia itu menyuarakan banyak cadangan yang baik.

Beliau percaya gabungan yang dianggap akan membentuk sebuah 'Dapur Media' itu, akan dapat membiayai lebih banyak pelaburan untuk kandungan siaran, dengan lebihan dana hasil penjimatan kos pengurusan.

Terdahulu, beliau yang diberi taklimat mengenai status pembinaan Media City, berkata bahawa fasa pertama daripada tiga fasa, melibatkan pengubahsuaian pada bangunan sedia ada dijangka siap sepenuhnya September ini.

Bagi fasa kedua melibatkan kerja-kerja sama seperti fasa pertama, katanya dijangka siap pada Jun tahun depan dan fasa ketiga melibatkan urusan membina dan melengkapkan kemudahan baharu pula dijangka siap pada Jun 2020.

"Saya dimaklumkan kos sedia ada cukup untuk tampung pembinaan dan saya juga dimaklumkan mereka lebih awal dari jadual," katanya.

Media City yang dicadang kerajaan pada 2009, dibina di atas tanah seluas 27.11 hektar di Angkasapuri dan menelan belanja RM860 juta.

Sementara itu, Kementerian Komunikasi dan Multimedia dalam kenyataan berkata projek Media City bakal dilengkapi infrastruktur moden seiring dengan perubahan teknologi semasa ke arah rangkaian TV digital yang komprehensif.

Menurut kenyataan itu, melalui projek berkenaan Malaysia mampu mencapai piawaian antarabangsa seperti Bandar Media di Dubai, Sydney, Singapura dan Manchester.

"Projek yang mengambil konsep dan idea daripada Bandar Media, United Kingdom ini bertujuan menaik taraf dua saluran transmisi analog sedia ada kepada 10 saluran HD," menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, projek Media City terdiri daripada tiga komponen utama iaitu kerja-kerja pengubahsuaian pada bangunan sedia ada serta mereka bentuk, membekal dan memasang sistem penyiaran.

Sementara komponen ketiga, menurut kenyataan itu adalah mereka bentuk, membina dan melengkapkan kemudahan baharu.

"Kemajuan kerja bagi fasa pertama telah mencapai 91 peratus dan dijangka selesai sepenuhnya pada 11 Sept 2018 manakala bagi fasa kedua pula, status kemajuan kerja adalah 17 peratus seperti yang dirancang dan dijangka siap sepenuhnya pada 11 Jun 2019.

"Status kemajuan kerja bagi mereka bentuk, membina, melengkap, mentauliah dan menyelenggara kerja-kerja infrastruktur, bangunan dan peralatan Media City adalah 25 peratus seperti yang disasarkan dan dijangka selesai sepenuhnya pada 11 Jun 2020," menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, Media City dijangka menjadi pemangkin untuk meningkatkan keupayaan infrastruktur penyiaran kebangsaan dan adalah sebahagian daripada rancangan kementerian dalam memastikan infrastruktur teknologi penyiaran digital di negara ini mencapai taraf antarabangsa.

-- BERNAMA