Malaysia menyambut baik keputusan Mahkamah Singapura yang mengeluarkan perintah supaya dikembalikan wang yang telah diseleweng daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan jumlah nilai keseluruhan kira-kira S$15.3 juta (RM45.9 juta) kepada negara ini, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

"Saya harap ia menjadi permulaan kepada lebih banyak lagi yang akan datang. Lagipun, jumlah wang yang akan dikembalikan berhubung 1MDB ini hanyalah sebahagian kecil sahaja.

"Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Peguam Negara kerana daya usahanya kini membuahkan hasil," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, Mahkamah Singapura mengeluarkan perintah pelupusan berhubung wang yang telah diseleweng daripada 1MDB dan/atau SRC International Sdn Bhd.

"Kesemua wang ini sedang dipindahkan ke akuan bank pemerolehan khas 1MDB di Kuala Lumpur.

"Usaha untuk mendapatkan kembali aset lain yang diseleweng masih diteruskan," menurut kenyataan itu. -- Bernama