KAJANG: Lima suspek yang ditahan kerana dipercayai membelasah seorang lelaki sehingga mengakibatkan kematian akan didakwa di Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi, di sini, pada Selasa.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan.

Namun tiada sebarang perincian lanjut diberikan mengenai seksyen atau akta pertuduhan yang akan dikemukakan.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.20 malam, 20 Februari lalu, kereta Proton Saga yang dipandu mangsa terbabas di Taman Pelangi Semenyih 2 dan melanggar pagar kawasan perumahan selepas didakwa cuba melarikan diri setelah terlibat dalam satu kemalangan membabitkan seorang penghantar makanan. 

Sekumpulan lelaki kemudian dilapor menarik mangsa keluar dari kenderaan itu, mengikat kedua-dua tangannya, dan membelasah mangsa sebelum beredar.

Pasukan perubatan yang tiba di lokasi kejadian mengesahkan mangsa yang berusia 42 tahun itu meninggal dunia.

Punca kematian masih belum didedahkan.

Polis kemudian menahan lima lelaki tempatan berusia 22 hingga 52 tahun dalam beberapa serbuan di sekitar Semenyih dan Beranang sekitar jam 2 pagi pada keesokan harinya.

Sebelum ini, Mohd Zaid memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 302 kerana membunuh dan Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.