Skip to main content

Malaysia

Kes tikam pelajar: Gelaran 'The Boy With The Face Mask' jadi tumpuan perbicaraan

Lawyer, Kitson Foong Credit: Ernalisa Astro AWANI
Kitson berkata, maklumat tersebut diperoleh hasil temu bual Dr Ian bersama guru dan rakan sekolah tertuduh bagi menilai perubahan tingkah laku serta latar belakang kesihatan mentalnya. - Gambar/ Astro AWANI
Advertisement

SHAH ALAM: Gelaran 'The Boy With The Face Mask' yang diberikan kepada tertuduh menjadi antara tumpuan dalam perbicaraan kes bunuh seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di Bandar Utama, Petaling Jaya.

Gelaran itu didedahkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini apabila peguam bela tertuduh, Kitson Foong, berkata bahawa ia merupakan antara perubahan tingkah laku yang diperhatikan dalam diri remaja itu sejak beberapa tahun lalu.

Menurut Kitson, saksi pakar psikiatri, Dr Ian Lloyd Anthony dari Hospital Bahagia Ulu Kinta, telah merekodkan bahawa tertuduh sering memakai pelitup muka walaupun selepas pandemik COVID-19 berakhir.

“Rakan sekolah memanggilnya ‘The Boy With The Face Mask’ kerana dia hampir tidak pernah menanggalkan pelitup muka, sehingga wajahnya jarang dilihat oleh orang sekeliling,” katanya ketika ditemui di perkarangan  mahkamah di sini hari ini.

Kitson berkata, maklumat tersebut diperoleh hasil temu bual Dr Ian bersama guru dan rakan sekolah tertuduh bagi menilai perubahan tingkah laku serta latar belakang kesihatan mentalnya.

Kitson turut berhujah bahawa simptom gangguan mental yang dialami tertuduh mula dikesan selepas tempoh pandemik COVID-19 dan didakwa semakin serius tanpa rawatan awal yang mencukupi.

“Kami berpandangan bahawa keadaan mental anak guam kami perlu diberi pertimbangan serius di bawah Seksyen 84 Kanun Keseksaan berkaitan ketidakwarasan,” katanya lagi.

Menurut beliau, sesi soal balas terhadap Dr Ian hari ini berlangsung membabitkan kira-kira 100 soalan dan akan disambung pada 26 Ogos ini.

Tertuduh sebelum ini memilih untuk memberikan keterangan tidak bersumpah dari kandang pesalah dan turut memohon maaf atas kejadian yang berlaku.

Tertuduh didakwa membunuh pelajar perempuan itu di tandas sebuah sekolah menengah di Bandar Utama pada 14 Oktober 2025, dan prosiding pembelaan dijangka ditutup pada 26 Ogos sebelum hujahan bertulis dikemukakan pada 3 September.

Must Watch Video

Advertisement