KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Ulamak Pas Selangor, Rizuan Rahmat meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh sekitar jam 4 petang Selasa.

Menurut Setiausaha Perhubungan Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir Allahyarham pernah dimasukkan ke hospital kerana COVID-19 baru-baru ini.

"Beliau masuk hospital sebab COVID-19. Post COVID-19, beliau minta untuk balik ke rumah walaupun pernafasan masih lemah.

"Selepas pulang ke rumah dalam dua hari, tengah hari tadi (Selasa) beliau dikejarkan semula ke hospital. Meninggal sekitar 2.30 petang tadi," katanya kepada Astro AWANI.

Sementara itu, dalam satu kenyataan, Badan Perhubungan Pas Selangor memaklumkan Allahyarham merupakan seorang yang banyak berjasa dalam memperjuangkan agama Islam di Malaysia terutama di Selangor.

“BPPNS mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham Al Fadhil Ustaz Rizuan Rahmat, Ketua Dewan Ulamak Pas Negeri Selangor yang telah kembali ke rahmatullah di Hospital Sungai Buloh sebentar tadi.

“Allahyarham juga Ahli Jawatankuasa Dewan Ulamak Pas Pusat yang banyak menyumbang kepada perjuangan Islam di dalam negara kita khususnya di negeri Selangor,” kata kenyataan yang disiarkan di Facebook BPPNS.