Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin membayangkan beliau tidak akan bertanding sebarang jawatan ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno pada pemilihannya 5 Oktober ini.

Katanya yang pernah bertanding jawatan Naib Presiden Umno pada pemilihan lalu, tumpuannya kini pada pentadbiran kerajaan negeri.

Bekas Menteri Pengajian Tinggi itu menyifatkan adalah tidak adil baginya mengambil apa-apa jawatan tertinggi parti sekiranya tidak mampu memberi perhatian kelak.

Jelas Khaled sebagai Menteri Besar Johor beliau perlu memberi keutamaan dan tumpuan kepada pentadbiran negeri yang baru diambil alih pada 14 Mei lalu.

“Bila sampai masa saya bagi tahu. Saya pun belum jumpa semua orang Umno. Kerja di Johor ini banyak. Kalau naib presiden ni satu Malaysia. Jadi atas sebab itu saya mungkin akan memberi tumpuan kepada Johor.

“Adalah tidak adil kalau saya ambil apa-apa jawatan tinggi tapi tidak mampu untuk memberi perhatian dan sebagainya. Tidak adil kepada mereka yang memberi sokongan,” katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Menteri Besar Johor di Pasir Gudang, Johor.

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang Datuk Zainal Abidin Osman turut memaklumkan tidak akan mempertahan jawatannya dalam MT Umno.

Pengumuman yang dibuat dalam laman Twitternya hari ini memberitahu bahawa tidak mempertahankan jawatan tersebut yang dimenanginya pada 2009 bagi memberi peluang kepada muka baru.

Sehingga kini, sekurang-kurangnya sembilan orang telah pun mengesahkan akan pertahankan jawatan ahli majlis tertinggi Umno iaitu Datuk Saifuddin Abdullah, Datuk Mustapha Mohamad, Datuk Seri Shahidan Kassim, Dr Puad Zarkashi, Datuk Seri Idris Jusoh, Tan Sri Zulhasnan Rafique, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.

Sementara Datuk Hassan Malek pula telah mengumumkan akan bertanding jawatan tersebut. Ketua sayap Pemuda, Khairy Jamaluddin pula masih berdiam diri tentang kedudukannya.

Bagaimanapun, sayap Wanita Umno berkemungkinan menyaksikan bertandingan di antara penyandangnya Datuk Seri Shahrizat Jalil dengan bekas ketua Puteri, Datuk Azalina Othman.