Golongan belia di sekitar daerah ini mungkin tidak lagi perlu berhijrah mencari pekerjaan berikutan pelaburan sebuah syarikat membangunkan kilang pemasangan trak dan lori di sini tidak lama lagi.

Kewujudan kilang tersebut kelak bakal menyaksikan 4,000 peluang pekerjaan bagi penduduk tempatan, menurut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, persetujuan sudah dicapai untuk syarikat berkenaan menanam modal dengan membuka kilang di salah sebuah ladang kelapa sawit berhampiran lokasi Jambatan Bagan Datuk yang sedang dalam pembinaan.

“Hampir pasti kilang tersebut akan dibina dan saya sendiri akan terlibat dalam membawa pelabur luar untuk kilang ini.

"Dijangkakan, sebanyak 400 ekar tanah sedang dirundingkan oleh pihak terlibat bagi proses pembelian,” katanya yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Sepetang Bersama Timbalan Perdana Menteri di Perkarangan Kediaman Fauzi Siraj, Kampung Sungai Tiang Darat, pada petang Ahad.

sehubungan itu, Ahmad Zahid meminta agar golongan anak muda di sekitar Bagan Datuk untuk melihat perancangan tersebut sebagai satu peluang.

Katanya, beliau sendiri akan meminta keutamaan khusus diberikan oleh syarikat berkenaan kepada anak-anak kelahiran Bagan Datuk.

“Kita telah mempunyai sebuah kolej yang menumpukan kepada bidang kejuruteraan marin.

"Justeru, untuk kolej komuniti, kita akan wujudkan khusus bagi bidang automobil, atau bidang membuat kenderaan,” tambahnya.

Ahmad Zahid juga berharap agar setiap pembangunan dan kemajuan yang dikecapi di setiap penjuru daerah itu dinikmati bersama oleh penduduk setempat yang kebanyakannya berada di luar bandar.

“Yang penting, kita lakukan bukan untuk diri kita, tetapi untuk anak cucu dan generasi Bagan Datuk akan datang.

“Saya harap kemajuan yang harus seimbang ini mesti diusahakan oleh orang kampung sendiri. Kita mesti terus menikmati kemajuan dan pembangunan di daerah kita.

"Kita tidak hanya mahu menjadi pemerhati kepada kemajuan ini,” katanya lagi.