Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang menyeru parti gabungan dalam Pakatan Rakyat agar memberi lebih tumpuan kepada Sabah dan Sarawak dalam usaha menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Kit Siang berkata Pakatan Rakyat berdepan cabaran berbeza di Sabah dan Sarawak maka pendekatan yang berbeza juga perlu digunakan untuk kedua negeri tersebut.

Katanya Pakatan Rakyat tidak boleh memandang ringan sokongan terhadap mereka di kawasan bandar Sabah dan Sarawak.

"Empat dari sembilan kerusi yang telah dimenangi Pakatan di Sabah dan Sarawak dalam PRU13 adalah kerusi marginal – Sarikei (beza undi 5050), Sibu (beza 2841) dan Miri (beza 1992) di Sarawak dan Sandakan (beza 1008) di Sabah.

"Semua kerusi ini perlu dipertahankan secara agresif," katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu juga menegaskan Pakatan Rakyat juga perlu mensasarkan kerusi marginal Barisan Nasional (BN).

Jelas beliau, BN memenangi empat kerusi parlimen di Sarawak dengan undi kurang dari 55 peratus manakala di Sabah parti pemerintah itu memenangi 10 kerusi perlimen dengan jumlah yang sama.

Bagaimanapun, Kit Siang berkata, Pakatan Rakyat di Sabah dan Sarawak perlu menangani parti-parti tempatan.

"Majoriti pengundi telah menunjukkan bahawa mereka menganggap Pakatan lebih boleh diharapkan sebagai alternatif bagi BN berbanding parti-parti tempatan, namun parti-parti ini masih boleh bertindak sebagai ‘pengganggu’ dan menarik sejumlah undi untuk menggagalkan usaha Pakatan memenangi sebahagian kerusi berkenaan," katanya.

Kit Siang berkata bagi mengelak berlakunya pertembungan tiga penjuru, khusunya di kerusi marginal BN, Pakatan Rakyat perlu mencari jalan lebih baik untuk bekerjasama dengan sebahagian parti tempatan di Sabah dan Sarawak.

"Dari segi program luar bandar, kempen Impian Sarawak dan Impian Sabah yang baru dilancarkan akan membawa masuk beberapa projek pembangunan kecil di kawasan luar bandar.

"Ini boleh digunakan sebagai contoh untuk Pakatan menyusun strategi luar bandar. Jika berjaya, projek-projek terbabit perlu dilaksanakan di sebanyak-banyak kawasan yang mungkin, khususnya di kawasan/kerusi marginal BN," katanya lagi.

Beliau juga menegaskan Pilihanraya Negeri Sarawak ke-11 akan datang akan menjadi medan terbaik untuk menguji keberkesanan strategi yang bertumpu kepada Sarawak.

"Pilihanraya negeri Sarawak tahun 2011 telah membuka ruang baru untuk Pakatan, khususnya di kawasan bandar, dan ia membolehkan Pakatan mencapai keputusan lebih baik dalam PRU 2013," tambahnya.

Kit Siang berpendapat perkara yang sama boleh berlaku dalam pilihanraya negeri Sarawak berikutnya jika Pakatan Rakyat berjaya menembusi kawasan luar bandar dalam pilihanraya negeri Sarawak.

"ia akan memberi tekanan kepada BN dan Taib Mahmud serta memberi kelebihan kepada Pakatan dalam PRU14," tegas beliau.

Seruan memberi tumpuan kepada Sabah dan Sarawak merupakan antara yang terkandung dalam strategi 12 Mata sebagai pelan induk untuk Pakatan Rakyat menawan Putrajaya dalam PRU14.