Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkan menerima laporan kes COVID-19 melibatkan seorang penggunting rambut warganegara Pakistan yang bekerja di sebuah kedai gunting rambut di ibu negara.

Hasil siasatan awal mendapati kedai gunting rambut tersebut tidak beroperasi sejak awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun lelaki itu tetap memberikan khidmat gunting rambut dari rumah ke rumah.

Justeru, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang melakukan pengesanan kontak rapat kepada mereka yang berhubung dengan lelaki itu.

"Pejabat Kesihatan Titiwangsa telah menerima satu notifikasi COVID-19 daripada sebuah hospital swasta pada 11 Jun 2020. Kes merupakan seorang lelaki warganegara Pakistan seorang penggunting rambut yang bekerja di sebuah kedai gunting rambut di KL.

"Hasil siasatan awal kedai gunting rambut tidak beroperasi sejak bermulanya Fasa PKP yang pertama iaitu 18 Mac 2020. Namun beliau terus memberikan khidmat gunting rambut dari rumah ke rumah atas permintaan pelanggan di kawasan sekitar," katanya dalam sidang media di sini pada Jumaat.

Lelaki warga Pakistan itu telah dikesan positif COVID-19 selepas majikannya melakukan saringan kesihatan apabila kedai gunting rambut berkenaan beroperasi pada hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) 10 Jun lalu.

Kira-kira 40 kontak rapat telah disaring dan diarahkan menjalani kuarantin selama 14 hari.

"Terdapat 25 kontak rapat yang dikenal pasti setakat ini melalui rekod panggilan telefon iaitu empat rakan serumah dan 21 orang lain. Kedai gunting itu beroperasi 10 jun 2020 dan majikan bawa beliau membuat saringan.

"Terdapat 15 kontak rapat yang mendapatkan khidmat gunting hingga 11 Jun. Jadi jumlah kontak 40 orang. Mereka sudah disaring dan dikuarantin. Dia sudah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh pada 11 Jun," tambahnya.