RAMADAN sangat istimewa kerana mampu membentuk peribadi Muslim yang bertakwa iaitu suatu sifat yang paling mulia di sisi Allah SWT. Hal ini  ditegaskan dalam firman-Nya yang bermaksud: 

"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang yang terdahulu daripada  kamu, mudah-mudahan kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah: 183)

Takwa  itu  sendiri  adalah  tunjang kepada  ajaran Islam. Hanya  orang yang bertakwa akan tunduk dan patuh  kepada  perintah Allah dan Rasul-Nya.

Dengan itu, seorang Muslim yang sejati akan sangat menantikan kedatangan bulan Ramadan dengan penuh persediaan, rindu untuk mengerjakan ibadah puasa dan bercita-cita untuk memenuhi setiap detik Ramadan dengan pengisian yang bukan sahaja amalan wajib, malah berbagai-bagai amalan sunat yang lain. 


Peribadi Muslim berakhlak mulia yang merupakan intipati kepada sifat takwa yang diidamkan dapat dibentuk daripada amalan puasa dan amalan yang lain pada bulan Ramadan ini. 

Namun, ramai antara kita yang telah melakukan perbuatan yang mengurangkan atau menghapuskan pahala puasa itu sendiri seperti yang digambarkan oleh Nabi SAW melalui sabdanya yang bermaksud: 

"Betapa ramai orang yang berpuasa, yang ia dapat daripada puasanya hanya lapar dan dahaga." (HR Ahmad)

Satu perbuatan yang sukar untuk dikawal oleh manusia ialah berbicara atau bertutur kata. Sesiapa sahaja antara kita boleh mengeluarkan tutur bicara dengan sewenang-wenangnya bak kata peribahasa, “lidah tidak bertulang”. 

Dalam kerancakan dan keaktifan berbicara, berkemungkinan ada kata-kata yang tanpa disedari mengandungi prasangka buruk terhadap orang lain, atau mungkin terdapat kata-kata yang mengguris perasaan sehingga menggoncangkan keharmonian masyarakat dan negara. 

Hindari perbicaraan yang sia-sia

Lisan orang beriman hanya mempunyai dua pilihan iaitu bercakap perkara yang baik atau jika tidak mampu berbuat demikian, dia perlu diam. Orang Islam yang baik pastinya akan meninggalkan perkara yang tiada kaitan atau tiada urusan dengannya.

Pada zaman sekarang, percakapan bukan hanya menggunakan mulut, tetapi sudah berpindah kepada tangan termasuklah menulis di media sosial.  

Lidah mungkin tidak lagi banyak berkata-kata, tetapi tangan pula sentiasa sibuk mengambil alih peranan lidah bagi melakukan perbuatan yang mengundang dosa fitnah sesama manusia.

Namun kesannya sama. Kita mengetahui bahawa setiap fitnah akan membuahkan permusuhan besar. Sehubungan itu, kita perlu berpegang kepada peringatan yang diberikan Allah SWT seperti dalam firman-Nya yang  bermaksud: 

“Sesungguhnya orang-orang yang suka menghebahkan tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat. Dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian).” (Surah an-Nuur: 19)

Ingatlah, semua yang kita ucapkan akan dicatat. Allah SWT berfirman yang bermaksud: 

“Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).” (Surah Qaaf: 18)

Jika kita tersalah dalam berkata-kata, ia sangat bahaya.

Sememangnya lidah manusia itu mampu mendatangkan kesan yang luar biasa. Ia boleh membuatkan orang berasa benci, sakit hati dan boleh mengakibatkan pergaduhan besar hanya diakibatkan seorang yang lancang pengucapannya.

Sebaliknya, apabila lidah itu dijaga dengan sebaiknya, ia pasti mampu membangkitkan rasa tenang, kagum serta terharu orang di sekelilingnya.

Justeru, hindarilah pembicaraan  yang sia-sia kerana Rasulullah SAW bersabda (maksudnya): 

"Apabila seseorang kamu berpuasa, janganlah ia bercakap perkara-perkara yang kotor dan sia-sia; dilarang juga bertengkar dan memaki hamun. Apabila ia dimaki hamun oleh seseorang atau diajak bermusuhan, maka hendak ia berkata, sesungguhnya aku sedang berpuasa." (HR Bukhari dan Muslim)

Junjung tinggi adab

Masyarakat Melayu dikenali sangat bertertib dan penuh berhikmah dalam mengeluarkan tutur kata. Dalam masyarakat yang sentiasa menjunjung tinggi nilai adab dan kesopanan, aspek “kebersihan” komunikasi amat diberikan keutamaan.

Tidak hairanlah masyarakat Melayu sejak dahulu lagi memiliki banyak ungkapan kata yang memberikan pengajaran, sindiran mahupun teguran demi kebaikan sesama anggota masyarakatnya. 

Misalnya peribahasa yang menyebut, “Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa.” Peribahasa ini begitu mendalam maksudnya. Ia memberikan didikan kepada seluruh anggota masyarakat Melayu supaya sentiasa berhati-hati dalam bertutur kata.

Sebenarnya, Islam begitu mengambil berat terhadap aspek bahasa dan penggunaan linguistik kerana ia juga merupakan antara unsur iman yang perlu dipelihara sebaiknya.

Islam meletakkan aspek linguistik dalam penggunaan apa jua naratif sebagai cerminan iman dan imej kepribadian seseorang individu.

Baginda SAW pernah memberikan peringatan yang intipati kandungan didikannya mengajak umatnya supaya bijak memilih aspek kosa kata yang memberikan manfaat.

Pesan Baginda SAW, jika tidak mampu mengucapkan yang baik-baik yang boleh menggembirakan orang lain, lebih baik kita diam. Baginda Rasulullah SAW berpesan: 

"Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata baik atau diam." (HR Bukhari dan Muslim)

Sesungguhnya, bukan suatu perkara mudah untuk seseorang bersikap diam sahaja tanpa campur tangan dalam memperkatakan sesuatu terutama yang melibatkan perkara yang dirasakan mencabar diri atau maruah mereka.

Tetapi seharusnya kita faham bahawa pesanan Rasulullah SAW tersebut sebenarnya mendidik diri umatnya supaya bijaksana dan sentiasa “berfikir dahulu sebelum berkata.”

Namun, yang sering kali berlaku adalah sebaliknya, iaitu kita selalu tidak berfikir panjang semasa mengeluarkan kata-kata dalam menaratif sesuatu isu.

Pesan Imam Syafie

Jadi, tidak hairanlah apabila tercetus sesuatu insiden yang tidak diingini akibat naratif berkomunikasi yang kurang “bersih,” kata-kata diluah tanpa memikirkan soal maruah. Kata-kata tidak lagi beradab susila dan tidak mengira soal dosa dan pahala. 

Imam Syafie pernah mengungkapkan bahawa "Jika seseorang hendak berkata, maka hendaklah dia berfikir terlebih dahulu. Jika nampak baginya perkara tersebut tidak membawa mudarat ke atasnya, bolehlah dia berbicara, tetapi sekiranya nampak baginya mudarat atau keraguan padanya, maka hendaklah dia menahan diri daripada berbicara."

Inilah panduan yang boleh kita ikuti dalam menyampaikan sesuatu percakapan. Dalam surah an-Nur ayat 19, Allah berfirman yang bermaksud: 

"Sesungguhnya orang yang suka menghebahkan tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat, dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian)." 

Firman Allah ini menunjukkan kepada kita agar kita tidak meremeh-temehkan mungkar komunikasi kerana ia tetap setaraf dengan perbuatan dosa yang lain juga.

Jangan sesekali kita beranggapan bahawa kebersihan hanya ditekankan kepada aspek alam sekitar sahaja, sedangkan Islam turut memberikan keutamaan buat umatnya untuk sentiasa membiasakan diri dengan “kebersihan komunikasi”. 

Jelaslah bahawa dalam mengeluarkan apa juga naratif berkenaan sesuatu perkara, perlu diperhitungkan sama ada ia memberikan pahala ataupun dosa.

Kita tidak mahu tanpa disedari kita telah terperangkap dalam melakukan kemungkaran semasa kita berkomunikasi atau berbicara kerana “terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk akibatnya.” 

Justeru, umat Islam perlu mengetahui adab dalam bertutur kata agar kita sentiasa dapat memelihara akhlak dalam pergaulan sesama manusia.

Adab bertutur kata

1. Semua perkataan mesti membawa kebaikan 

Daripada Abu Hurairah r.a, diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang beriman kepada Allah SWT dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau dia diam.” (HR Bukhari dan Muslim)

2. Bercakap mestilah jelas dan mudah difahami

Aisyah r.a. berkata: “Bahawasanya Rasulullah SAW itu selalu jelas sehingga difahami oleh semua yang mendengarnya.” (HR Abu Dawud)

3. Merendah diri dan menjauhi sikap berdolak-dalik

Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya orang yang paling aku benci dan paling jauh dariku pada hari kiamat ialah orang yang banyak bercakap dan bersifat sombong dalam bercakap.” (HR Tirmidzi)

4. Menghindari banyak bercakap kerana khuatir membosankan orang yang mendengar

Menurut sebuah hadis yang diriwayatkan Abu Wa’il: “Ibnu Mas’ud r.a. senantiasa mengajar kami pada setiap hari Khamis. Maka berkata seorang lelaki: “Wahai Abu Abdurrahman (gelaran Ibnu Mas’ud), mahukah engkau mengajari kami setiap hari?” Maka jawab Ibnu Mas’ud: “Sesungguhnya tidak ada yang menghalangiku memenuhi keinginanmu, hanya aku khuatir membosankan kalian, kerana aku pun pernah meminta yang demikian pada Nabi SAW dan baginda menjawab khuatir membosankan kami.” (HR Bukhari dan Muslim)

5. Bercakap benar dan menghindari daripada menyatakan yang dusta

Ada pepatah mengatakan, “Bercakap benarlah kamu walaupun yang benar itu pahit kerana kepahitan itu adalah penawar yang mujarab.” 

“Tanda-tanda munafik itu ada tiga, jika dia berbicara berdusta, jika dia berjanji mengingkari dan jika diberi amanah dia khianat.” (HR Bukhari)

6. Mengulangi kata-kata yang penting jika diperlukan

Anas berkata: “Apabila Rasulullah SAW bercakap, baginda akan mengulanginya sampai tiga kali sehingga semua yang mendengar menjadi faham, dan apabila baginda mendatangi rumah seseorang,  baginda akan mengucapkan salam tiga kali.” (HR Bukhari)

7. Menjauhi perdebatan sengit

Sabda Rasulullah SAW (maksudnya): “Tidaklah sesat sesuatu kaum, setelah mendapatkan hidayah untuk mereka, melainkan kerana terlalu banyak berdebat.” (HRt ibnu Majah dan Tirmidzi)

8. Menjauhi kata-kata keji, mencela dan melaknat

Sabda Rasulullah SAW (maksudnya): “Seorang mukmin itu bukanlah orang yang suka mencela, suka melaknat, suka berperilaku keji dan suka berkata kasar.” (HR Tirmidzi)

9. Menghindari sikap banyak membuat lawak

Sabda Rasulullah SAW: (maksudnya): "Janganlah kamu banyak ketawa, kerana banyak ketawa akan mematikan hati.” (HR Ibnu Majah)

10. Menghindari ghibah (mengumpat) dan mengadu domba

Sabda Rasulullah SAW (maksudnya): “Janganlah kalian saling mendengki, dan janganlah kalian saling membenci, dan janganlah kalian saling berkata-kata keji, dan janganlah kalian saling menghindari, dan janganlah kalian saling mengumpat satu dengan yang lain, dan jadilah hamba-hamba Allah yang bersaudara.” (HR Bukhari)

11. Jangan menghina atau mengaibkan orang lain

Sabda Rasulullah SAW (maksudnya): “Jika seseorang menceritakan suatu hal padamu lalu ia pergi, maka ceritanya itu menjadi amanah bagimu untuk menjaganya.” (HR Abu Dawud dan Tirmidzi)

12.  Mengucapkan “Insya-Allah” (jika diizinkan Allah) terhadap sesuatu rancangan atau sesuatu yang belum pasti.

“Dan janganlah kamu mengatakan terhadap sesuatu: “Sesungguhnya aku akan mengerjakan itu esok pagi, kecuali (dengan menyebut) “Insya-Allah,” dan Tuhanku akan memberiku petunjuk kepada yang lebih dekat kebenarannya daripada ini.” (Surah al-Kahfi: 23-24)

Pelbagai panduan telah diperincikan dalam adab kita mengeluarkan kata-kata. Bulan Ramadan yang kita lalui ini diharapkan dapat mendidik kita mengawal pertuturan kita.

Sekiranya sebelum ini kita selalu berkata-kata “ikut sedap mulut saja,” mungkin boleh bertukar kepada bertutur sebagai orang yang rasional dan berfikiran jauh dan matang.

Keseluruhan masyarakat di negara kita pada akhir-akhir ini amat terkesan dengan insiden stoking tertera kalimah Allah. Bermacam-macam reaksi dengan kata-kata daripada pelbagai pihak, kaum dan agama berlegar di media perdana dan media sosial. Ia sedikit sebanyak telah meruntun hati ahli masyarakat.

Kalau dibiarkan berlarutan, kata-kata kejian dan hinaan yang tidak terkawal ini boleh menjurus kepada musibah yang lebih besar. Sebab itu sikap sayang-menyayangi, hormat-menghormati dan bantu-membantu perlu terus kita bina dan pelihara. 

Masyarakat berasaskan kepelbagaian di negara ini mestilah tidak cepat menghukum, khususnya dalam insiden stoking ini. Sepatutnya kita perlu menyelidik dan memahami sesuatu isu. 

Jangan cepat mencari salah orang terutama yang tidak sefahaman dengan kita. Yang paling penting ialah kita perlu mendapatkan fakta yang tepat sebelum kita mengeluarkan tutur kata dan hujah kita sendiri.

Amat unik sekali insiden stoking ini berlaku dalam bulan Ramadan iaitu bulan yang penuh dengan keberkatan yang mendidik jiwa manusia menuju kepada sifat takwa.

Ia seolah-olah satu pengajaran yang ingin disampaikan oleh Allah SWT kepada semua rakyat khususnya umat Islam di negara ini yang sedang berpuasa dan melakukan amal ibadah bagi meningkatkan iman untuk menambahkan pahala dan dalam masa yang sama berusaha untuk tidak melakukan atau menambah dosa. 

Akhirnya, jagalah adab kita dalam berbicara kerana tutur kata yang kita jaga akan melahirkan dan memelihara keharmonian dalam keluarga, masyarakat dan negara.

Bak kata Buya Hamka, "Kata-kata yang lemah lembut dan beradab dapat melembutkan hati manusia yang keras."



* Artikel oleh Dr Sabariah Baharun, Ahli Jawatankuasa Pusat, Ketua Kluster Perpaduan Nasional, Pertubuhan IKRAM Malaysia. 

** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan bidangnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.