KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan disiasat mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Ia bagi membantu siasatan berhubung klip video berdurasi 57 saat bertajuk '#JusticeForGanapathy yang dimuat naik di laman instagram miliknya sebelum ini.

Menurut Timbalan Pengarah JSJ (Siasatan/Perundangan), DCP Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri dalam maklumat yang dikongsi menerusi WhatsApp pada Sabtu, Pengasas parti MUDA itu akan disiasat di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam atau kepada mana-mana golongan awam.

Selain itu, beliau juga akan disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atas dasar penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Ujar Mohd Azman lagi, pihaknya turut merampas satu unit telefon dan satu unit simkad miliknya. Kes itu  disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

BACA: "Kenapa rampas telefon bimbit saya?" - Syed Saddiq persoal tindakan polis, SKMM

Terdahulu, Syed Saddiq hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada Sabtu bagi memberi keterangan.

Ahli Parlimen Muar itu yang ditemani peguamnya berkata, beliau akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis.

Ganapathy 40, peniaga susu lembu ditahan polis pada 24 Februari lalu dan meninggal dunia di Hospital Selayang pada 18 April selepas sebulan menerima rawatan.

BACA: Syed Saddiq dipanggil polis berhubung video mengenai kematian tahanan