IPOH: Sebanyak 2,845 barangan tiruan pelbagai corak, saiz dan warna bernilai RM87,979 dirampas dalam satu serbuan di sebuah premis perniagaan di Jalan Sultan Abdul Jalil di sini.

Pengarah KPDNHEP Saifullizan Kamarul Zaman berkata serbuan dijalankan kira-kira jam 10.30 pagi hasil aduan dan maklumat risikan melalui wakil pemilik cap dagang, berhubung penjualan barangan tiruan tersebut.

"Terdapat 1,245 unit kasut wanita dan kanak-kanak perempuan, 800 unit plastik beg menggunakan label dan 800 unit pelekat berjenama," katanya dalam satu kenyataan.

Saifullizan berkata selain itu, pekerja wanita dan seorang pemilik perniagaan warga tempatan yang berada di tempat kejadian, ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019.

Beliau turut menasihatkan peniaga khususnya di Perak, supaya mematuhi segala undang-undang perniagaan yang ditetapkan dan tidak menjual barangan tiruan.

"Pengguna boleh menyalurkan maklumat atau aduan, menerusi portal e-aduan atau pusat talian di 1 800 886 800 atau emel di [email protected].

"Pengguna juga boleh salurkan maklumat kepada Ez ADU KPDNHEP (aplikasi telefon pintar) atau aplikasi Whatsapp di 019-279 4317, selain Bilik Gerakan KPDNHEP Negeri 05-2414611," katanya.

-- BERNAMA