SIBU : Sejumlah lebih 600,000 pek bubur lambuk diagihkan kepada orang ramai secara serentak di seluruh negara hari ini bersempena Program Gerak Rahmah: ‘Jom Masak Bubur Lambuk Perpaduan dan Sungkei Perdana 2024’ anjuran Kementerian Perpaduan Negara.

Menterinya, Datuk Seri Aaron Ago Dagang berkata, program tersebut bertujuan memperkasa, dan mempergiatkan lagi aktiviti-aktiviti kemasyarakatan serta kesukarelawanan dalam sesuatu komuniti.

“Jumlah tersebut meningkat berbanding tahun lepas sebanyak 400,000 pek bubur lambuk yang diagihkan melibatkan 4,000 Kawasan Rukun Tetangga (KRT).

“Di Sarawak, kita agihkan sebanyak 12,000 pek bubur lambuk dan di Dataran Tun Tuanku Bujang ini, kita agihkan sebanyak 5,000 pek bubur lambuk,” katanya selepas merasmikan Program Gerak Rahmah: ‘Jom Masak Bubur Lambuk Perpaduan dan Sungkei Perdana 2024 di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr Annuar Rapaee yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Nangka.

Program itu dilaksanakan di tiga peringkat, iaitu peringkat kebangsaan di Sibu Sarawak, peringkat negeri di 16 buah negeri, dan peringkat KRT.

“KRT adalah jentera perpaduan di peringkat komuniti yang berperanan penting dalam memastikan keselamatan, kesejahteraan, dan keharmonian.

“Sehingga kini, terdapat lebih daripada 8,438 KRT yang ditubuhkan di seluruh negara, dan jumlah ini dijangka akan terus meningkat setiap tahun,” tambahnya.

Beliau berharap usaha itu dapat meningkatkan kesedaran dan menggerakkan peranan KRT sebagai agen penyatuan masyarakat serta menyumbang kepada pembangunan komuniti yang lebih progresif.

Selain agihan bubur lambuk, terdapat juga program lain seperti sumbangan Bakul Rahmah, Ziarah Rahmah, dan iftar Ramadan.