KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia (KSM) telah meluluskan 995,396 kuota pekerja asing sehingga 14 Mac lalu.

Timbalan Menterinya, Mustapha Sakmud berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 84.7 peratus kuota pekerja asing telah pun dibayar levi oleh pihak majikan.

Menurutnya, majikan diberi tempoh masa sehingga 18 bulan bagi maksud urusan membawa masuk pekerja asing ke Malaysia selepas membuat pembayaran levi.

“Pertimbangan ini diberikan bagi membantu pihak majikan untuk menguruskan kemasukan pekerja asing dalam tempoh yang mencukupi.

“Daripada jumlah kuota yang diluluskan, sektor yang tertinggi adalah bagi sektor perkilangan (387,122), diikuti dengan sektor pembinaan (342,106), sektor perkhidmatan (143,568), sektor perladangan (76,325), sektor pertanian (45,899) serta sektor perlombongan dan pengkuarian (376),” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Chow Kon Yeow (PH-Batu Kawan) yang meminta senarai semua rundingan yang sedang, telah dan juga dalam proses dengan negara-negara berpotensi membekalkan bekalan tenaga buruh ke negara ini.

Kon Yeow juga bertanya berapa bilangan pekerja yang dijangka dibawa masuk dan tempoh masa untuk untuk mengatasi isu kekurangan tenaga buruh yang dihadapi setiap industri.

Tambah Mustapha, Malaysia telah menjalinkan kerjasama perburuhan bagi pengambilan dan penggajian pekerja asing melalui memorandum persefahaman (MoU) dengan 10 negara sumber.

Bagaimanapun, hanya lapan MoU yang masih berkuatkuasa iaitu dengan Bangladesh, Republik Rakyat China, Indonesia, Pakistan, Thailand, Vietnam, Nepal dan Kemboja.