KUALA LUMPUR :Sarawak masih lagi mencatatkan bilangan kes COVID-19 baharu tiga angka, menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak pada Rabu.

Sebanyak 200 kes baharu COVID-19 dilaporkan di negeri berkenaan dalam tempoh 24 jam.

Selain itu, daerah Kuching telah bertukar status daripada jingga kepada merah setelah merekodkan sejumlah 43 kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari yang lepas.

Berikut antara tumpuan kenyataan JBPN Sarawak:

1. Tiga kematian direkodkan di tiga daerah berbeza di Sarawak. Masing-masing satu kes di Kuching, Bintulu dan Sibu. Ini menjadikan jumlah kematian keseluruhan kepada 65 kes.



Tiga kematian di tiga daerah berbeza


2. JPBN Sarawak mengisytiharkan pertambahan satu kluster baharu dikenali sebagai Kluster Jan Yong di Kapit. Kluster ini melibatkan jangkitan di rumah panjang dengan kes indeksnya wanita berusia 21 tahun yang mempunyai sejarah ke kawasan berisiko tinggi iaitu Sibu.

3. Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi JPBN Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dalam kenyataannya menerusi Facebook Live yang dihoskan oleh Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Clarence Ting pada hari ini turut memaklumkan sekatan pergerakan telah dikenakan di 214 buah rumah panjang di seluruh Sarawak dalam usaha mengekang penularan COVID-19.

Daripada jumlah itu, 116 daripadanya telah ditamatkan selepas ujian saringan kedua didapati negatif.


98 rumah panjang masih bawah sekatan pergerakan

4. Sementara itu, JPBN Sarawak mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Taman Univista, Kota Samarahan berkuat kuasa 17 Februari 2021 sehingga 2 Mac depan.



Hari pertama PKPD di Taman Univista

5. Sarawak secara keseluruhannya mencatatkan 200 kes positif COVID-19. Sibu kekal menjadi daerah yang mencatatkan angka tertinggi di negeri tersebut iaitu 102 kes. Ini diikuti dengan Kapit (53 kes) dan Kuching (16).

Selain itu, Bintulu (13 kes), Dalat (7), Miri dan Lundu masing-masing tiga kes. Bakinya, satu di Samarahan, Beluru dan Belaga.



AWANI Sarawak [17/02/2021] - Tiga kematian hari ini | Elak kes merebak | Diiktiraf petugas barisan hadapan