KUALA LUMPUR:Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah meluluskan 2.5 juta daripada 3.88 juta permohonan i-Sinar di bawah Kategori 1, melibatkan pengeluaran berjumlah RM19.62 bilion setakat 4 Jan 2021.

KWSP dalam satu kenyataan hari ini berkata pembayaran bulan pertama berjumlah RM10.07 bilion akan dibuat secara berperingkat mulai 5 Jan 2021.

"KWSP maklum bahawa sebahagian besar daripada 1.4 juta permohonan yang masih belum diluluskan, berada di dalam kriteria Kategori 2, yang akan dibuka untuk permohonan mulai 11 Januari 2021. Bagi ahli yang termasuk dalam Kategori 2, mereka disarankan untuk menyediakan dokumen yang berkaitan seperti slip gaji rasmi (yang memperincikan jumlah gaji termasuk elaun lebih masa dan komisen) dan/atau penyata bank bagi dimuat naik melalui i-Sinar Online.

Sejumlah 701 permohonan tidak dapat diluluskan atas beberapa sebab seperti perbezaan nombor akaun bank, permohonan yang dibuat untuk ahli yang telah meninggal dunia atau ahli telah pun berumur 55 tahun dan layak bagi mengeluarkan kesemua simpanan KWSP mereka.

"KWSP seterusnya memberi jaminan kepada ahli bahawa dana itu telah menyediakan langkah-langkah untuk menghalang pihak ketiga yang tidak bertanggungjawab atau penipu daripada membuat penyerahan palsu dan mendatangkan bahaya kepada simpanan persaraan ahli," katanya.

Oleh itu, KWSP menasihatkan ahlinya supaya mengelak daripada berkongsi foto atau dokumen penyerahan atau pengeluaran i-Sinar mereka di media sosial, kerana ini akan mendedahkan mereka kepada potensi penipuan.



-- BERNAMA