IPOH: Laluan Persekutuan FT185 Jalan Simpang Pulai-Blue Valley Seksyen 27 di sini yang ditutup sepenuhnya susulan kejadian tanah runtuh hingga mengorbankan dua nyawa pada 2 Disember lalu akan dibuka semula pada Jumaat.

Exco Infrastruktur Awam, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, perkara itu bagaimanapun tertakluk kepada justifikasi dan penilaian risiko yang dikeluarkan oleh Unit Cerun Jabatan Kerja Raya (JKR) dari semasa ke semasa.

"Laluan ini akan dibuka esok (Jumaat) kepada semua jenis kenderaan selepas pembersihan tebing cerun telah siap sepenuhnya. Perkara ini disahkan oleh Timbalan Ketua Pengarah JKR.

"Justeru itu, pengguna jalan dinasihatkan mengambil langkah berhati-hati dan melakukan perancangan awal ketika memandu di laluan tersebut," katanya pada sesi penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini pada Khamis.

Beliau yang juga ADUN Lintang turut merakam penghargaan kepada semua petugas yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat dua mangsa yang terlibat.

"Saya mewakili kerajaan negeri merakam takziah dan simpati kepada keluarga pemandu lori sayur, Muhammad Hafiz Hamdi, 31, dan pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard, Tan Chee Heng, 36.

"Saya merakam penghargaan kepada petugas misi menyelamat iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, polis, Pejabat Daerah Kinta dan pengamal media yang bertungkus lumus sehingga larut malam.

"Sepanjang misi tersebut saya terharu dengan komitmen dan kecekalan semua yang terlibat," katanya.

Media pada Jumaat minggu lalu melaporkan, JKR Daerah Kinta dalam notis pemberitahuan melalui laman Facebook rasminya berkata, pemeriksaan oleh Cawangan Pakar pada Rabu mendapati keadaan cerun berkenaan masih belum selamat untuk dilalui kenderaan sehingga kerja-kerja pembersihan runtuhan tanah dijalankan sepenuhnya.

BACA: Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands masih ditutup, belum selamat untuk semua kenderaan

* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.