Laman web rasmi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) tergendala berikutan
'server' menerima kunjungan yang tinggi daripada perniagaan tertentu yang dibenarkan untuk beroperasi pada fasa ketiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

Percubaan untuk memasuki laman web itu tidak berjaya dan hanya memaparkan mesej ralat dan pautan ke laman web MITI itu gagal dicapai.

Perkara itu disahkan melalui laman Twitter rasmi MITI yang membalas ciapan seorang pengguna Twitter.


“Hi, disebabkan trafik yang tinggi, Portal MITI menunjukkan tidak dapat diakses. Lebih daripada 100,000 syarikat telah memohon setakat ini di dalam sistem.

“Mohon untuk terus mencuba, server akan disambungkan apabila terdapat slot kosong. Kami memohon maaf atas perkara tersebut. Terima kasih,” kata kementerian berkenaan pada Isnin.

Rata-rata mereka yang cuba mengakses masuk ke dalam laman web MITI meluahkan rasa kecewa kerana terpaksa menunggu lama untuk masuk ke dalam laman web tersebut.



Jumaat lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan bersetuju untuk membenarkan sektor ekonomi tambahan untuk beroperasi secara berperingkat dalam tempoh PKP yang dilanjutkan sehingga 28 April ini.

Bagaimanapun, kata beliau, perniagaan yang terpilih sahaja dibenarkan beroperasi di bawah garis panduan keselamatan dan penjagaan kesihatan yang ketat.