KUALA LUMPUR: Lapan daripada 43 empangan utama di lima negeri membabitkan Johor, Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak berada pada paras berjaga-jaga.

Pengarah Kanan Bahagian Operasi Wilayah Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Mohd Jalaludin Sulaiman memaklumkan lima paras muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) turut merekodkan bacaan pada tahap berjaga-jaga.

“Pemantauan paras empangan dan loji rawatan utama untuk hari ini kita dapati ada lapan empangan yang ada paras berjaga-jaga iaitu di Perlis empangan Timah Tasoh di Kedah, empangan Pedu, Muda, Malut, di Pulau Pinang empangan Air Hitam dan Teluk Bahang di Perak empangan Bukit Merah dan di Johor empangan Sembrong Barat.

“Peratus simpanan untuk semua empangan tadi di Timah Tasoh adalah 45.7 peratus, Pedu 58.49 peratus, Muda 31.2 peratus, Malut 47.2 peratus, Ayer Hitam 52.3 peratus, di Teluk Bahang 44.7 peratus, Bukit Merah 40.5 peratus dan Sembrong Barat yang mempunyai simpanan semasa 48.3 peratus,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Jumaat.

Tambah beliau, hujan dijangka berlaku di bahagian utara termasuk Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor petang ini dan akan menunjukkan peningkatan air di lokasi empangan.

Tambah beliau, pengguna disaran berhubung dengan operator air di negeri masing-masing sekiranya mempunyai sebarang pertanyaan atau maklum balas.