TANAH MERAH: Lapan lelaki warga Thailand didapati melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Tanah Merah (DITM) di sini selepas memotong pagar dalam kejadian pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah DSP Zainuddin Md Yusuf berkata susulan kejadian itu, usaha mengesan kesemua tahanan telah dijalankan di kawasan berhampiran DITM oleh polis bersama dengan Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Imigresen Malaysia Kota Bharu.

"Berdasarkan laporan, kejadian disedari pada kira-kira 5.40 pagi selepas pegawai Imigresen di depot itu mengesyaki ada tahanan melarikan diri dari sel tahanan. Setelah membuat pemeriksaan di bilik tersebut, beliau mendapati jumlah tahanan tidak cukup seramai lapan orang.

"Pemeriksaan mendapati tahanan yang telah melarikan diri ialah warganegara Thailand yang dikenali sebagai Muhamad Rafi Abdullah, 24, Rosman Deraman, 50, Sufaizol, 24, Lukman Dueloh, 25, Faramih Bin Yahikoh, 34, Muhammad Firdao Malaseng, 26, Mohd Ibrahim Bin Awang The, 42, dan Mohd Ridzuan Bin Che Soh, 33," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata berdasarkan laporan, pegawai Imigresen yang membuat pemeriksaan di lokasi kejadian turut mendapati ada pagar telah dipotong yang disyaki menjadi laluan tahanan melarikan diri.

"Ekoran kejadian itu, beberapa pegawai Imigresen telah keluar membuat pencarian di luar kawasan pagar depot tetapi tidak dapat mengesan dan menemukan tahanan yang telah lari.

"Sehingga kini, usaha mengesan kesemua tahanan terbabit sedang giat dilakukan dengan kerjasama anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Imigresen dan polis," katanya.

-- BERNAMA