Jabatan Perdana Menteri merupakan antara empat kementerian yang akan dipanggil Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berkenaan pengurusan kewangan yang tidak memuaskan.

Pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, JPM akan dipanggil bagi memberi penjelasan tentang tatacara pengurusan kewangan mereka melibatkan penyelenggaraan kapal dan bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang berjumlah RM231 juta.

"Dan ada isu mengenai kewujudan pembayaran yang tidak betul. Kita hendak panggil pihak yang berkenaan untuk dapatkan penjelasan daripada mereka mengenai tatacara pengurusan kewangan mereka," kata beliau dalam sidang media selepas beliau mempengerusikan mesyuarat PAC di Parlimen pada Isnin.

Tiga lagi kementerian yang bakal dipanggil ialah Kementerian Pertanian dan Asas Tani, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kewangan.

Parlimen
Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Datuk Nur Jazlan Mohamed (kanan) bersama Naib Pengerusi PAC Dr. Tan Seng Giaw (tengah) dan Anggota Jawatankuasa PAC Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menunjukkan Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2014 Siri 2 ketika mempengerusikan mesyuarat Laporan Ketua Audit Negara tersebut di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
Selain itu, projek NKEA pertanian, Pihak Berkuasa Koridor Utara (NCIA), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Hotel Seri Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan beberapa universiti tempatan awam akan dipanggil.

Nur Jazlan juga berkata beliau terkejut dengan laporan Ketua Audit tersebut yang menyaksikan beberapa kelemahan dari tatacara pengurusan kewangan oleh kementerian-kementerian tersebut.

BACA:
Ketua Audit siap sedia bentangkan laporan awal 1MDB akhir Jun - Nur Jazlan


“Tahun lepas saya kata PAC makin puas hati dengan pengurusan kerajaan, nampaknya sekarang ni kita kena tarik balik lah,”

Katanya, bagi Kementerian Pertanian dan Asas Tani, terdapat projek-projek kendalian kementerian itu yang tidak disiapkan mengikut masa serta tidak menepati sasaran dan kemajuan yang ditetapkan.

“Dan satu lagi isu yang timbul ialah dokumen kontrak yang melebihi RM100 juta telah ditandatangani oleh KSU kementerian tersebut dan bukannya menteri itu sendiri,” katanya.

Bagi Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Nur Jazlan berkata terdapat pengurusan kewangan yang kurang memuaskan dalam agensi itu.

Selain itu, katanya lima syarikat yang dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan projek-projek yang dikendalikan mereka, dipilih secara rundingan terus.

Dalam pada itu, PAC turut menyentuh tentang pengurusan kewangan beberapa universiti awam tempatan iaitu Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan beberapa universiti lain.

Nur Jazlan turut menyoal bagaimana universiti-universiti tersebut boleh dinaiktaraf apabila pengurusan kewangan mereka masih goyah.

“Kalau pengurusan masih lemah lagi, bagaimana mereka boleh diberi taraf autonomi?” katanya.

Menurut Nur Jazlan, bagi pihak kementerian, pegawai yang akan dipanggil adalah ketua-ketua setiausahanya (KSU).

“Kita hendak panggil mereka sebab kita hendak memberikan mesej bahawa kita sedang memerhatikan mereka,” katanya.

Bernama hari ini melaporkan bahawa sebanyak 241 syor dikemukakan dalam Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2014 Siri 2 bagi membantu Kerajaan Persekutuan, Badan Berkanun Persekutuan dan Kerajaan negeri membuat penambahbaikan dan memperbaiki kelemahan yang dilaporkan.

Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang berkata daripada jumlah itu, Jabatan Audit Negara mengemukakan 90 syor kepada Kerajaan Persekutuan, 56 syor kepada Badan Berkanun Persekutuan dan 95 syor kepada Kerajaan negeri.