KUCHING: Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah menyifatkan tindakan Ahli Parlimen Julau, Larry Sng meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan menyokong kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai satu keputusan tepat.

Menurut Abdul Karim, Larry bukan orang baharu dalam dunia politik kerana telah terbabit di dalamnya sejak tahun 2001 lagi.

Malah Larry juga berpengalaman di peringkat pentadbiran negeri kerana pernah dilantik sebagai menteri muda ketika era pentadbiran Tun Abdul Taib Mahmud sebagai Ketua Menteri.

“Jika dikira sudah 20 tahun Larry menjadi ahli politik.

“Beliau mesti boleh membaca keadaan perasaan nadi rakyat dan selain daripada itu melihat bagaimana pentadbiran kerajaan yang ada pada masa ini, baik di peringkat negeri atau peringkat nasional,” jelas Abdul Karim.

Tambahnya lagi keputusan Larry itu didorong keyakinannya terhadap pentadbiran Muhyiddin selain tidak yakin kemampuan Pakatan Harapan (PH) untuk memenangi pilihan raya umum (PRU) yang akan datang.

“Kalau dia merasakan barisan pemimpin yang dalam Pakatan Harapan itu boleh menang pilihan raya dan mungkin lebih baik daripada Muhyiddin, dia akan kekal dan tunggu sehingga PRU.

“Sebaliknya beliau tidak berbuat demikian,” ujarnya dalam  sidang media menandatangani Memorandum Persefahaman antara Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) dan Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) pada Isnin.

Ketika ditanya sama ada Larry akan bertanding dalam pilihan raya akan datang atas tiket Gabungan Parti Sarawak (GPS), Abdul Karim menjelaskan beliau enggan membuat sebarang spekulasi mengenainya.

Bagaimanapun jika benar, Larry terlebih dahulu perlu menyertai mana-mana parti komponen GPS.

Larry meninggalkan PKR secara rasmi pada Ahad dan mengumumkan dirinya sebagai Ahli Parlimen bebas mesra kerajaan pusat.