KUALA LUMPUR: Sebanyak 43 projek melibatkan 26,154 unit kediaman telah siap dibina di bawah inisiatif Residensi Wilayah setakat Februari lepas, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata 23 projek dengan 23,441 unit kediaman pula kini dalam fasa pembinaan.

"Insya-Allah projek-projek dalam fasa pembinaan ini dijangka siap pada tahun ini hingga 2027," katanya ketika berucap pada majlis penyerahan kunci kepada pembeli Residensi Wilayah SkyAwani 5 di sini, hari ini.

Pada majlis tersebut, Dr Zaliha menyerahkan kunci kepada 20 pembeli SkyAwani 5 yang merupakan antara projek di bawah inisiatif Residensi Wilayah.

Residensi Wilayah adalah inisiatif Jabatan Wilayah Persekutuan yang bertujuan menyediakan rumah mampu milik di seluruh Wilayah Persekutuan terutama bagi pembeli dalam golongan berpendapatan sederhana rendah.

Di bawah inisiatif tersebut, kerajaan dengan kerjasama syarikat pemaju perumahan melalui kaedah subsidi silang menyediakan kediaman berkeluasan minimum 800 kaki persegi pada harga tidak melebihi RM300,000 seunit.

Mengulas mengenai SkyAwani 5, Dr Zaliha berkata projek tersebut mencipta sejarah sebagai rumah mampu milik pertama di Malaysia yang menyediakan kemudahan stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) bagi penghuninya.

Menurutnya, projek itu juga telah berjaya menetapkan piawaian yang tinggi dalam industri pembinaan rumah mampu milik dengan menyediakan lebih 20 kemudahan seperti gimnasium, kolam renang, ruang kerja bersama serta bilik permainan yang menjadi nilai tambah buat penghuni.

-- BERNAMA