KUALA LUMPUR: Kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menghulurkan sumbangan makanan dan barangan keperluan asas kepada lebih 700 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terjejas akibat banjir terutamanya di Pahang dan Selangor.

Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang berkata sumbangan berkenaan disampaikan Duta Emiriah UAE ke Malaysia, Khalid Ghanim Mohammad Al-Ghaith.

Beliau berkata sumbangan itu terdiri daripada sejadah, Al-Quran, telekung, barangan memasak, kit pembersihan, tilam, tuala, selimut dan bantal yang dapat membantu meringankan beban mangsa banjir.

"Sumbangan ini akan diagihkan bermula hujung minggu ini kepada lebih 700 keluarga anggota ATM yang terjejas terutamanya di Selangor dan Pahang seperti Shah Alam, Klang, Temerloh, Mentakab dan Bentong.

"ATM berterima kasih dengan keprihatinan dan bantuan Kerajaan UAE dalam membantu mereka yang terkesan dengan bencana banjir terutamanya warga tentera dan keluarga mereka," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyampaian bantuan mangsa banjir daripada Kerajaan UAE kepada ATM di Wisma Perwira di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jemaah Tertinggi Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) Tengku Puteri Seri Teja Puan Sri Tengku Muhaini Sultan Ahmad Shah.

Affendi berkata sumbangan tersebut akan diatur gerak oleh ATM dan BAKAT yang menjaga hal ehwal keluarga anggota tentera serta akan diperluaskan kepada masyarakat umum bagi menyahut seruan kerajaan menjayakan konsep Keluarga Malaysia.

-- BERNAMA