KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga tempatan ditemukan mati dipercayai dibunuh di sebuah premis di Lorong Bukit Ceylon, Bukit Bintang, awal pagi tadi.

Mangsa yang berusia 28 tahun itu, ditemukan dalam keadaan terbaring di atas katil.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohamad Zainal Abdullah berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada isteri mangsa kira-kira 4.15 pagi.

Beliau berkata setakat ini, polis menahan seorang suspek warga tempatan berusia 20 tahun di sekitar ibu negara untuk membantu siasatan kes berkenaan.

"Polis telah menjalankan siasatan berkaitan kes ini di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Zainal berkata mangsa yang bekerja sebagai pengawal keselamatan itu turut mempunyai kesan lebam di kedua-dua pergelangan tangan dan di dahinya.

Selain itu, beliau berkata hasil siasatan awal mendapati tempat penemuan mangsa itu telah didaftarkan menggunakan nama rakan mangsa.

"Motif pembunuhan dalam kes ini masih dalam siasatan dan proses bedah siasat terhadap punca kematian mangsa sedang dijalankan," katanya sambil memohon kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat berhubung kes itu.