KUALA LUMPUR: Seorang lelaki maut selepas kenderaan dipandunya terbabas sebelum terjatuh ke dalam gaung sedalam kira-kira 80 meter dalam kejadian di Jalan Lama dari Genting Sempah menghala ke Gombak, malam tadi.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.46 malam.
Advertisement
Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Selayang dikejarkan ke lokasi.
"Kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Kancil yang dipercayai terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung.
“Seorang mangsa lelaki berusia 56 tahun dipercayai tercampak keluar dari kenderaan tersebut dan mengalami kecederaan parah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, anggota bomba menjalankan operasi menyelamat bagi membawa naik mangsa dari kawasan gaung.
Bagaimanapun, pada jam 1.15 pagi, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia.
Kes diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut.
Operasi melibatkan tujuh anggota bomba dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Emergency Medical Rescue Services (EMRS).