Seorang lelaki yang didakwa membenam kepala seorang kanak-kanak perempuan dua tahun ke dalam baldi berisi air tahun lepas, hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kematian kanak-kanak itu.

Tertuduh, Mustaqim Ab Wahab, 32, didakwa melakukan kesalahan itu di Kompleks Perdagangan DWJ Meru, di sini pada 24 Mei tahun lepas antara pukul 4 dan 5.41 pagi.

Dia didakwa dengan sengaja membenam kepala Fatini Aleysya Karim, 2, ke dalam baldi berisi air sehingga menyebabkan kematian kepada mangsa.

Dia didakwa di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001, yang boleh dihukum di bawah akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

BACA: Kanak-kanak perempuan lemas di dalam baldi

Hakim Datuk Julie Lack Abdullah menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 13 Ogos depan untuk sebutan semula kes.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Naidatul Athirah Azman manakala tertuduh diwakili peguam Ranjit Singh Sandhu.

-- BERNAMA