KUALA TERENGGANU: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) diminta lebih kreatif dan menggunakan kaedah yang berkesan untuk memerangi aktiviti ekonomi gelap.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan berkata langkah itu penting kerana aktiviti ekonomi gelap kini dianggarkan pada sekitar 30 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Apabila saya sebut 30 peratus daripada KDNK adalah ekonomi gelap, mereka (LHDN dan JKDM) perlu memikirkan secara kreatif bagaimana mahu mengurangkan ekonomi gelap itu. Ekonomi gelap ini contohnya orang yang lari daripada cukai, orang yang tipu cukai dan tidak bayar (jumlah) cukai sebenar.

"Jika atas usaha-usaha kreatif itu ekonomi gelap boleh diturunkan daripada 30 peratus kepada 10 peratus, maka hasil yang diperoleh bertambah berpuluh-puluh bilion, tanpa perlu diadakan cukai baharu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan rasmi ke LHDNM Kuala Terengganu, di Kompleks Perniagaan PB Square, di sini semalam.

Ahmad berkata bagaimanapun setakat ini tiada sebarang sasaran atau Petunjuk Prestasi Utama (KPI) diberikan kepada LHDN dan JKDM untuk mengurangkan aktiviti ekonomi gelap dan kerajaan juga masih merangka dasar-dasar untuk mengurangkan ekonomi gelap yang didapati semakin berleluasa sejak pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Dalam pada itu beliau berkata antara langkah lain yang boleh dilakukan oleh LHDN dan JKDM untuk meningkatkan kutipan hasil cukai adalah menguatkuasakan peraturan-peraturan yang sedia ada dengan lebih teliti dan mengadakan rundingan dengan syarikat-syarikat berkaitan untuk mendapatkan bayaran cukai.

-- BERNAMA