JASIN: Lokasi sawah Kampung Tengah Padang, Merlimau dipilih sebagai projek rintis Ladang Benih Padi Sah, yang dijangka mengeluarkan benih padi yang pertama Melaka, awal tahun depan.

Exco Kemajuan Desa Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Dr Muhamad Akmal Saleh berkata sebelum ini, kajian telah dilakukan di Kampung Sempang namun kawasan tersebut didapati tidak sesuai, disebabkan beberapa faktor seperti masalah saliran dan sumber air, bagi melaksanakan projek tersebut.

"Alhamdulillah kita kini dalam proses perataan tanah dan telah dapat kebenaran untuk memulakan projek tersebut dan hasil kajian Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), kawasan di situ telah dikenal pasti paling sesuai untuk tanaman benih padi menggunakan varieti MR297, selain mampu mengeluarkan hasil sehingga tiga kali ganda.

"Projek itu akan bermula pada musim tanaman padi baharu September depan, melibatkan kawasan sawah padi seluas 42 hektar," katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, di Dataran Orang Kampung di sini lewat malam tadi.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam dan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh serta kepimpinan negeri.

Muhamad Akmal berkata menerusi projek penghasilan benih padi berkenaan, dilihat akan dapat menyelesaikan masalah pesawah di negeri itu, yang berdepan kesukaran mendapatkan benih padi berkualiti untuk tanaman mereka.

"Kita positif ladang ini akan memberi peningkatan tahap sara diri (SSL) padi pada 2026 meningkat dari sembilan peratus kepada 15 peratus, sekali gus dapat meningkatkan bekalan beras di Melaka," katanya.

Dalam pada itu Muhammad Akmal berkata pihaknya ingin berterima kasih kepada orang ramai, dari dalam dan luar Merlimau malah dari negeri lain, yang telah hadir meraikan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Merlimau yang bermula pukul 8 malam hingga 12 tengah malam itu, dengan kehadiran dianggarkan lebih 37,000 pengunjung.

-- BERNAMA