KUALA LUMPUR: Pusat Kajian Sosial dan Dasar Tan Cheng Lock (TCLC) bersama Akademi Pengajian Islam Kontemporari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis serta Pusat Kajian Cina Malaysia (Huayan) akan memulakan kajian untuk memastikan kesedaran rakyat Malaysia terhadap lubuk scam.

Usaha tersebut turut disokong bersama media tempatan seperti Sinar Harian, Sin Chew Daily, Astro AWANI, The Star dan Malaysia Nanban.

Kajian yang dimulakan itu berhasrat untuk mengetahui sama ada rakyat Malaysia sedar tentang situasi jenayah semakin membimbangkan, menganalisis persepsi terhadap risiko atas keputusan mereka sendiri dan pendapat mengenai langkah-langkah yang boleh diambil oleh kerajaan.

Peserta kajian dapat berkongsi pandangan mereka dengan mengimbas kod QR yang disertakan.




Sebahagian daripada mangsa pula berakhir di lubuk scam tersebut selepas menerima jemputan untuk menyertai program jelajah manakala ada yang terpedaya dengan hubungan percintaan palsu.

Sehingga kini, tiada program konkrit yang dimulakan pihak berkaitan untuk menghalang rakyat Malaysia daripada menjadi mangsa sindiket tersebut kerana kebanyakan usaha tertumpu kepada penghantaran pulang mereka ke negara.

Ketiadaan program tersebut kemungkinan disebabkan rakyat Malaysia tidak menyedari bahawa mereka telah ditipu dan secara sukarela meninggalkan negara untuk memulakan ‘kerjaya yang menguntungkan’, ‘program pelancongan’ atau ‘perhubungan romantik’.

Selain itu, hasil laporan yang diterbitkan oleh Pejabat Dadah dan Jenayah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNODC) menimbulkan kebimbangan mengenai tahap keparahan pemerdagangan manusia dan jenayah paksa di Asia Tenggara.

Menurut laporan itu, ratusan ribu mangsa yang diperdagangkan telah dieksploitasi sindiket jenayah transnasional untuk menipu orang ramai di seluruh dunia.

Kebanyakan mangsa ditahan di lubuk-lubuk scam yang terletak di Kemboja, Laos, Myanmar dan beberapa negara lain di mana mangsa terpaksa melakukan penipuan fizikal serta dalam talian.