KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia dan Jepun terus memperkukuhkan lagi kerjasama strategik dalam sektor teknologi dan digitalisasi pembinaan, infrastruktur jalan, pengurusan bencana dan cerun.

Menurut Menteri Kerja Raya, Datuk Sri Alexander Nanta Linggi, kesudian Timbalan Menteri Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan Jepun, TYT Kokuba Konosuke untuk menerima kunjungan beliau dan delegasi Kementerian Kerja Raya (KKR) di Tokyo semalam merupakan sebuah kesinambungan hubungan baik antara Malaysia dan Jepun yang telah dimeterai sejak 65 tahun yang lalu.

Menerusi pertemuan di negara matahari terbit itu, mereka berdua turut berkongsi maklumat berhubung kait pengurusan dan penyelenggaraan lebuh raya dan cerun serta pertukaran tenaga kepakaran dan teknikal antara dua buah negara itu.

Tambah Menteri KKR itu lagi, pertemuan empat mata antara dua negara itu juga selaras dengan tema Dasar Pembinaan Negara 2030 iaitu pendigitalan sektor pembinaan negara dan beliau turut yakin bahawa negara Malaysia dapat memanfaatkan kepakaran teknologi Jepun dalam sektor pembinaan dan infrastruktur.

"Selain itu, perbincangan turut tertumpu kepada potensi kerjasama yang boleh diteroka oleh kedua-dua pihak dalam sektor pembinaan.

"Kedua-dua pihak juga telah bersetuju untuk mengadakan perbincangan lanjut dalam aspek teknikal di peringkat pengawai kedua-dua pihak," katanya menerusi kenyataan media di Facebook pada Khamis.

Beliau juga amat teruja dan menghargai persetujuan maklum balas daripada pihak Jepun yang bersetuju untuk mempertimbangkan cadangan dan jemputan program antarabangsa anjuran agensi Lembaga Lebuhraya Malaysia dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) yang akan diadakan pada tahun ini.

"Dua program yang akan dilaksanakan adalah Highway Concession Conference pada 24 dan 25 September ini serta International Construction Week pada November.

"Saya berharap pertemuan empat mata ini akan memberi hasil positif dengan dimuktamadkan menerusi perjanjian persefahaman (MoU) yang dihasratkan untuk dimeterai pada suku kedua 2024 dan seterusnya pada Program KKR sempena Ekspo Dunia Osaka 2025.

"Perjanjian persefahaman ini juga diharapkan dapat membuka peluang kepada pemain industri sektor pembinaan Malaysia meneroka pasaran Jepun selaras dengan pelaksanaan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang mana Malaysia dan Jepun adalah ahli di dalam CPTPP ini," ujarnya lagi.