Skip to main content

Malaysia

Malaysia, Kemboja kukuh kerjasama pertahanan, bina daya tahan kolektif - Mohamed Khaled

Khaled Nordin_FB Khaled Nordin
Mohamed Khaled berkata, komitmen itu dizahirkan ketika beliau mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Kemboja Samdech Thipadei Hun Manet di Peace Palace, Phnom Penh pada Jumaat. - Foto Facebook Khaled Nordin
Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Kemboja komited untuk terus memperkukuh hubungan dua hala khususnya dalam bidang pertahanan dan keselamatan, sekali gus menyumbang kepada pembinaan daya tahan kolektif ASEAN.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, komitmen itu dizahirkan ketika beliau mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Kemboja, Samdech Thipadei Hun Manet di Peace Palace, Phnom Penh pada Jumaat.

Beliau berkata, antara perkara utama yang dibincangkan ialah usaha memuktamadkan Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Pertahanan Malaysia-Kemboja, yang bakal menjadi kerangka penting dalam memperluas dan memperkukuh kerjasama pertahanan kedua-dua negara.

“Malaysia dan Kemboja turut berkongsi pandangan mengenai kepentingan pemusatan ASEAN, dialog serta mekanisme serantau dalam menangani cabaran keselamatan, termasuk usaha berterusan ke arah keamanan dan kestabilan di sempadan Kemboja-Thailand,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau berkata, Malaysia turut menzahirkan sokongan berterusan terhadap mekanisme ASEAN Observer Team (AOT) selain penyelesaian secara aman menerusi dialog dan rundingan.

Mohamed Khaled berkata, kedua-dua pihak turut membincangkan kepentingan memuktamadkan Code of Conduct (COC) di Laut China Selatan, sebagai langkah penting bagi memastikan keamanan, kestabilan dan ketertiban berasaskan peraturan terus terpelihara.

Beliau berkata, Malaysia dan Kemboja juga komited memperkukuh kerjasama pertahanan dalam bidang-bidang baharu termasuk latihan peperangan hutan, industri pertahanan, kecerdasan buatan (AI) dan teknologi dron.

Selain itu,  Mohamed Khaled turut mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Nasional Kemboja, Jeneral Tea Seiha, bagi bertukar-tukar pandangan mengenai landskap keselamatan serantau yang semakin kompleks.

Dalam hantaran berasingan berhubung pertemuan itu, beliau menyatakan harapan agar gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand, dapat terus dikekalkan.

 “Walaupun Malaysia bukan lagi Pengerusi ASEAN pada tahun ini, namun komitmen negara untuk terus menyokong keamanan dan kestabilan rantau ini kekal tidak berubah.

“Saya juga mengalu-alukan perkembangan MoU Kerjasama Pertahanan Malaysia-Kemboja yang kini berada pada peringkat akhir untuk dimuktamadkan dan berharap MoU ini dapat dimeterai sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) di Filipina kelak,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, beliau yakin kerjasama yang terus diperkukuh itu akan mengeratkan lagi hubungan Malaysia dan Kemboja menjelang ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik kedua-dua negara pada 2027.

Sebelum ke Kemboja, Mohamed Khaled mengetuai delegasi Malaysia dalam lawatan kerja rasmi ke Vietnam pada 5 dan 6 Ogos, termasuk mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri negara itu, Le Minh Hung, serta mengadakan pertemuan dua hala dengan Menteri Pertahanan Vietnam, Jeneral Phan Van Giang.

Sementara itu, Kementerian Pertahanan (MINDEF) memaklumkan, lawatan rasmi selama dua hari ke Kemboja yang bermula Khamis itu, mencerminkan komitmen Malaysia memperkukuh hubungan pertahanan dengan negara anggota ASEAN selaras dengan aspirasi Kertas Putih Pertahanan.

Menurut kenyataan itu, siri lawatan kerja Mohamed Khaled ke Vietnam dan Kemboja merupakan manifestasi pelaksanaan Tonggak Ketiga Strategi Pertahanan Negara, iaitu Perkongsian Berwibawa, selain memperkukuh diplomasi pertahanan Malaysia di peringkat serantau.

Turut mengiringi delegasi Malaysia ialah Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Zulhelmy Ithnain dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertahanan, Datuk Mohd Yani Daud.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement