Malaysia perlu perkukuh ekosistem digital untuk kekal bersaing - Fahmi, Gobind

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil (kanan) menjawab soalan media selepas hadir pada International Young Future Leaders Summit (iFUTURE) 2025 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan Menteri Digital Gobind Singh Deo menegaskan keperluan mendesak untuk Malaysia memperkukuh ekosistem digital bagi memanfaatkan sepenuhnya potensi kecerdasan buatan (AI) dan kekal bersaing dalam kemajuan teknologi global yang pesat.
Ringkasan AI
- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan Menteri Digital Gobind Singh Deo menegaskan Malaysia perlu segera memperkukuh ekosistem digital dan kesiapsiagaan negara untuk menghadapi perkembangan AI.
- Fahmi berkata AI harus digunakan secara bertanggungjawab sebagai pelengkap manusia dan memberi amaran risiko penyalahgunaan seperti deepfake dan penipuan.
- Gobind menekankan keperluan infrastruktur, data dan kepercayaan yang kukuh serta pelaburan teknologi bagi mencapai visi Malaysia sebagai negara AI menjelang 2030.
"Yang lebih penting daripada menggunakan teknologi ini adalah untuk memiliki kerangka pemikiran yang betul. Bukan lagi tentang to be or not to be, tetapi pertanyaannya sekarang ialah apakah persoalan yang perlu dilontarkan?" katanya.
Forum itu dikendalikan oleh Pengerusi Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Tan Sri Azman Mokhtar.
Sebagai ahli panel, Fahmi berkata pelajar secara amnya lebih terbuka menerima AI berbanding pensyarah atau pentadbir, sambil menekankan kepentingan kepimpinan dalam membimbing penggunaan AI yang bertanggungjawab.
"Mereka yang berada dalam posisi kepimpinan lazimnya lebih konservatif. Tetapi, sebagai pemimpin, kita perlu menunjukkan kepada mereka cara terbaik menyesuaikan diri dan mengguna pakai teknologi baharu," katanya.
Beliau berkongsi bahawa mesin pengisihan Pos Malaysia dapat memproses 22,000 pucuk surat dalam masa seminit berbanding 1,500 pucuk surat sehari oleh pekerja, namun masih memerlukan tenaga kerja manusia untuk mentafsir tulisan tangan yang tidak jelas, membuktikan bahawa teknologi masih mempunyai batasannya.
Fahmi berkata beberapa agensi kerajaan juga telah menggunakan AI dengan berkesan, termasuk Jabatan Audit Negara yang dapat meringkaskan laporan dalam masa beberapa hari dengan bantuan teknologi itu berbanding berbulan-bulan sebelum ini.
Bagaimanapun, Fahmi memberikan amaran bahawa AI turut menimbulkan risiko penyalahgunaan, terutamanya menerusi kaedah deepfake (pemalsuan) dan scam (penipuan).
"Walaupun AI menawarkan peluang yang amat besar, teknologi itu juga membuka pintu kepada penyalahgunaan. Ramai yang menghubungi saya mengatakan bahawa wajah mereka digunakan dalam penipuan deepfake," katanya.
Sementara itu, Gobind menegaskan bahawa Malaysia perlu membina asas yang kukuh dari segi infrastruktur, data dan kepercayaan bagi menghadapi transformasi AI.
"Kita perlu memahami falsafah di sebalik AI. Pemahaman ini memberi kita perspektif untuk merangka strategi bagi mempersiapkan negara mengambil manfaat daripada teknologi ini," katanya.
Beliau berkata Akta Perkongsian Data yang berkuat kuasa pada 28 April lepas membolehkan kementerian dan agensi mendigitalkan data dengan selamat dan membangunkan penyelesaian berasaskan AI.
Malaysia, katanya menarik firma teknologi global utama seperti Amazon Web Services, Microsoft, Google, Oracle, dan NVIDIA untuk membina pusat data di negara ini, sekali gus mengukuhkan keupayaan digital negara. Pelaburan itu penting untuk memastikan negara mempunyai kuasa pengkomputeran yang mencukupi untuk ekonomi yang berpacukan AI.
Gobind turut menekankan bahawa keyakinan dan kesiapsiagaan mesti berkembang seiring dengan inovasi untuk merealisaikan kesan menyeluruh teknologi itu, sambil mengingatkan bahawa visi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadikan Malaysia negara AI menjelang 2030 memerlukan tindakan segera di seluruh sektor, jika tidak negara lain akan maju manakala Malaysia berisiko ketinggalan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami