Selepas dibenarkan pulang pada Selasa, mangsa banjir di daerah Baling terpaksa berpindah kembali ke pusat pemindahan malam tadi selepas hujan lebat sejak awal malam mengakibatkan kediaman mereka kembali dinaiki air.

Kali ini, seramai 145 orang mangsa melibatkan 49 keluarga terpaksa dipindahkan ke dua pusat pemindahan banjir iaitu di Dewan Tun Razak dan Kompleks Sukan Batu 42.

Pegawai Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Baling, Lt Mohd Faizol Ab Aziz berkata, hujan lebat yang turun bermula jam 7 malam sehingga 10 malam tadi telah menyebabkan paras air Sungai Baling meningkat sehingga melimpahi ke kawasan penduduk.

"Kesemua mangsa telah dipindahkan semula ke pusat pemindahan ekoran air sedalam 0.5 hingga 1 meter memasuki rumah mereka," katanya, sambil menambah, mangsa dipindahkan dengan bantuan Angkatan Pertahanan Awam (APM), Pejabat Daerah Baling dan Jabatan Bomba Dan Penyelamat.

Antara kampung yang terlibat adalah Kampung Tanjung Merbau, Kampung Lubuk Pedati dan Kampung Pantai.

BACA: Banjir Baling: 50 orang dari 17 keluarga dipindahkan

Mohd Faizol berkata, Pegawai Daerah dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Baling telah melawat serta menyampaikan bantuan awal berupa keperluan makanan, selimut, bantal, tuala dan ubatan.

Beliau turut memaklumkan, sekiranya penduduk memerlukan bantuan untuk berpindah, mereka boleh menghubungi Pejabat APM di talian 04-4701546 atau Bilik Gerakan APM di talian 04-4701626 yang beroperasi 24 jam.