JOHOR BAHRU: Jumlah mangsa banjir di Johor terus melonjak kepada 6,564 orang daripada 1,819 keluarga yang ditempatkan di 51 pusat pemindahan sementara (PPS) di enam daerah setakat 8 pagi ini berbanding 3,322 orang yang direkodkan pada 8 malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata pertambahan itu susulan peningkatan mangsa di Kota Tinggi, Kluang dan Johor Bahru.

"Kota Tinggi mencatatkan mangsa tertinggi dengan 2,964 orang daripada 783 keluarga yang berlindung di 24 PPS, diikuti Johor Bahru sebanyak 1,844 orang daripada 504 keluarga di 10 PPS dan Kluang dengan 1,633 mangsa daripada 500 keluarga di 14 PPS," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata Kulai pula merekodkan 86 mangsa banjir daripada 23 keluarga, 20 orang daripada lima keluarga di Segamat dan Pontian sejumlah 17 orang daripada empat keluarga dengan masing-masing ditempatkan di satu PPS.

Sementara itu, Azmi yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Johor berkata data daripada Jabatan Pengairan dan Saliran menunjukkan enam sungai di Johor mencatatkan paras bahaya.

Empat sungai yang berada pada paras bahaya di Kota Tinggi membabitkan Sungai Johor di Rantau Panjang iaitu 10.65 meter (m), Sungai Linggiu di Linggiu (31.4 m), Sungai Kepala Orang di Kampung Sri Jaya (8.76 m) dan Sungai Johor (3.27 m), katanya.

Beliau berkata turut mencatatkan paras bahaya ialah Sungai Kahang di Kampung Contoh, Kluang yang mencatatkan 15.9 m dan Sungai Siam di Kampung Sungai Siam, Kulai (20.95 m).

Dalam pada itu, Azmi berkata hanya Mersing dan Tangkak dijangka hujan pagi ini, manakala semua lapan daerah dijangka cerah.

Sementara itu, menurut laporan terkini situasi banjir di seluruh negara yang dikeluarkan Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), jumlah mangsa banjir di Pahang turut meningkat menjadi 845 mangsa daripada 221 keluarga di 23 PPS setakat 12 tengah malam tadi.

Rompin menjadi daerah tertinggi mangsa dipindahkan iaitu 360 orang daripada 109 keluarga, diikuti Maran (261 mangsa, 58 keluarga) dan Pekan (224 mangsa, 54 keluarga).

Selain itu, satu PPS juga dibuka di Kuching, Sarawak disebabkan oleh bencana kebakaran yang menempatkan sebanyak 38 mangsa daripada 12 keluarga.

Tinjauan situasi status Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran pula mendapati beberapa sungai mencatatkan paras bahaya antaranya Sungai Kedah, Kota Setar di Kedah; Sungai Kelantan, Gua Musang, Kelantan dan lima sungai di Pahang iaitu Sungai Kuantan, Kuantan; Sungai Pahang di Pekan, Jerantut dan Maran dan Sungai Rompin, Rompin.

Batang Sadong, Serian di Sarawak serta Sungai Terengganu, Hulu Terengganu, Terengganu turut berada dalam senarai paras bahaya.

Laporan itu turut memaklumkan sebanyak 43 jalan ditutup akibat banjir, cerun runtuh, jalan mendap dan kerosakan antaranya Jalan Mersing - Endau (Mersing), Jalan JB - Mersing dan Jalan Kota Tinggi - Kluang di Johor; Lebuhraya Kuantan - Segamat (Lebuhraya Tun Razak) dan Jalan Pekan - Nenasi - Rompin, Jalan Temerloh - Jerantut di Pahang serta Jalan Bukit Besi - Dungun, Terengganu.

Amaran cuaca peringkat bahaya turut dikeluarkan membabitkan kawasan Rompin di Pahang yang diramal berlaku hujan sangat lebat berterusan, manakala peringkat buruk di Pekan, Pahang dan Johor (Segamat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi) yang dijangka berlaku hujan lebat berterusan hari ini.

Peringkat waspada pula melibatkan Maran, Kuantan dan Bera di Pahang serta di Johor membabitkan Tangkak, Muar, Batu Pahat, Pontian, Kulai dan Johor Bahru, yang dijangka berlaku hujan berterusan hari ini.

-- BERNAMA