KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di empat negeri menurun lagi kepada 6,778 orang di 29 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 12 tengah hari ini berbanding 9,690 orang di 37 PPS pagi tadi.

Berdasarkan laporan terkini kejadian bencana di seluruh negara yang dikeluarkan Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), jumlah mangsa banjir di Kelantan terus berkurangan kepada 6,684 orang di 24 PPS berbanding 9,387 orang di 27 PPS pagi tadi.

Menurut laporan itu, PPS di Kelantan merangkumi 10 di Pasir Mas yang menempatkan 3,916 orang, sembilan di Tumpat (2,278 orang), tiga di Kuala Krai (62 orang) dan dua di Jeli (428 orang).

Di Terengganu, bilangan mangsa banjir turut menurun kepada enam orang dan berlindung di satu PPS di daerah Kuala Terengganu, manakala dua PPS di daerah Dungun telah ditutup.

Situasi sama turut berlaku di Pahang apabila merekodkan 34 mangsa banjir di dua PPS di daerah Maran berbanding 131 orang di lima PPS pagi tadi, manakala 87 mangsa insiden tanah runtuh di Cameron Highlands kekal berada di sebuah PPS yang dibuka di daerah itu.

Jumlah mangsa banjir di Johor pula tidak berubah dengan 54 orang masih ditempatkan di dua PPS di daerah Segamat tengah hari ini.

Tinjauan situasi status Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati dua sungai di Kelantan iaitu Sungai Golok di Pasir Mas dan Tanah Merah berada pada paras bahaya setakat 12 tengah hari ini, tetapi hanya di Tanah Merah menunjukkan trend meningkat.

Turut merekodkan paras bahaya ialah Sungai Arau di Perlis yang menunjukkan keadaan trend menurun, dan Sungai Perak di Hulu Perak serta Sungai Pulai di Johor Bahru, dengan masing-masing dalam trend meningkat.

Laporan itu juga menyebut terdapat 34 jalan ditutup akibat bencana banjir, jambatan rosak atau runtuh dan tanah runtuh.

Antara yang terlibat ialah Jalan Jabi-Bukit Tempurung, Segamat di Johor; Jalan Pengkalan Rakit-Batu Karang (Kelantan); Jalan Marang-Wakaf Tapai (Terengganu) dan Jalan Kuala Lumpur-Bentong (Jalan Lama Bentong) di Pahang serta Jalan Bukit Jugra di Selangor.

-- BERNAMA