Mayat mangsa runtuhan tanjakan konkrit Jambatan Kedua Pulau Pinang yang dalam pembinaan di Batu Maung berjaya dikeluarkan oleh anggota pasukan keselamatan kira-kira pukul sembilan malam dalam operasi mengambil masa lebih 24 jam.

Mayat lelaki yang dikenali sebagai Tajuddin Zainal Abidin, 45 dan tinggal di Permatang Damar Laut, Bayan Lepas terus di bawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk dibedah siasat.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata mayat itu dicam oleh isteri dan abang mangsa di tempat kejadian setelah Tajuddin yang menaiki kereta jenis Kelisa tidak pulang ke rumah sejak semalam.

Mayatnya ditemui dalam keadaan tunduk di tempat duduk pemandu dan keretanya remuk akibat dihempap tanjakan konkrit itu.

"Pada sebelah petang tadi, abang mangsa ada datang ke lokasi dan membuat pengecaman berdasarkan pakaian yang dipakainya itu adalah adiknya dan selepas mayat dikeluarkan, isteri mangsa sekali membuat pengecaman dan mengaku lelaki yang memakai pakaian itu adalah suaminya," katanya pada sidang media di sini malam ini.

Balu Allahyarham, Shariffah Ramli, 40, berkata jenazah suaminya akan disemadikan malam Jumaat juga selepas segala urusan selesai.

Shariffah yang ditemui media di Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP)di sini, berkata suaminya menghubungi anak perempuan sulung mereka pada pukul 6.30 petang dengan janji membeli aiskrim di Medan Selera Pantai Seagate, Batu Maung, sebelum pulang ke rumah mereka di Permatang Damar Laut.

Bagaimanapun, beliau mula mengesyaki sesuatu yang buruk berlaku kerana suaminya gagal tiba di rumah mereka kira-kira dua jam kemudian selain panggilan ke kedua-dua nombor telefon milik Allahyarham tidak berjawab.

Susulan itu beliau keluar mencari suaminya di medan selera berkenaan dan mendapati keadaan jalan sesak teruk akibat insiden runtuhan tersebut.

"Lepas itu saya lihat laporan di televisyen mengatakan ada kereta Perodua Kelisa dengan sebahagian nombor plat yang telah remuk serupa dengan suami saya tertimbus dalam runtuhan itu. Masa itu saya mula rasa tidak sedap hati walaupun laporan itu mengatakan ada empat orang dalam kereta itu," katanya.

Shariffah berkata beliau hanya mendapat pengesahan mengatakan mangsa yang terlibat adalah suaminya pada tengah hari tadi.

Tajuddin yang bekerja sendiri meninggalkan dua anak Nur Ain Maisara dan Nur Aina Syazwani masing-masing berusia 7 dan 11 tahun.

Sementara itu Pakar Perunding Patologi Jabatan Forensik HPP, Datuk Dr Bhupinder Singh berkata kematian Tajudin berpunca daripada kesesakan nafas.

"Hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia serta-merta sejurus insiden itu berlaku selain turut mengalami kecederaan di kedua belah kaki dan patah tulang kedua belah tulang rusuk," katanya menambah bedah siasat bermula pukul 10 malam dan selesai pada 11.40 malam.

Sementara itu, Abdul Rahim berkata operasi mencari dan menyelamat diteruskan berikutan terdapat maklumat yang memaklumkan ada mangsa lain terlibat dalam kejadian runtuhan berkenaan.

"Kita tidak pasti sama ada maklumat (ada beberapa mangsa lain terlibat) yang dapat itu tepat atau tidak tetapi operasi akan diteruskan.

Setakat ini hanya satu laporan polis yang kita terima kehilangan anggota keluarga iaitu dari keluarga mangsa (Tajuddin)," katanya.

Dalam perkembangan lain, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang Mohd Shoki Hamzah berkata pihaknya akan menggunakan unit anjing pengesan (K-9) esok bagi meneruskan operasi mencari dan menyelamat.

"Unit K-9 Kuala Lumpur akan datang membantu kita esok bagi mengesan mangsa yang mungkin masih terperangkap di bawah timbunan runtuhan berkenaan," katanya.

Katanya setakat ini kerja-kerja pembersihan lokasi berlaku runtuhan berkenaan sedang dijalankan dan ia akan diteruskan sehingga selesai.