Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah dan Perlis berjaya merampas dadah jenis Methamphetamine bernilai RM769,050 selepas mengejar sebuah bot, semasa melakukan rondaan Op Benteng Laut di kawasan perairan barat daya Pulau Singa Besar, di sini, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata dalam kejadian 3.15 pagi itu, anggotanya menggagalkan cubaan sekumpulan individu untuk menyeludup dadah seberat lima kilogram itu menerusi perairan Langkawi.

Beliau berkata bot yang dinaiki sekumpulan individu itu memecut laju melarikan diri setelah menyedari kehadiran bot peronda Maritim Malaysia, dan semasa dikejar, seorang suspek bertindak mencampakkan satu objek ke laut sebelum melarikan diri ke arah sempadan negara.

"Memandangkan keadaan cuaca ketika itu tidak begitu baik, suspek telah meloloskan diri. Bot peronda kemudian mengesan kotak berwarna coklat yang dibuang ke laut sebelumnya, dan mendapati ia mengandungi kira-kira lima kilogram dadah jenis syabu, dengan nilai dianggarkan RM769,000," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Maritim Negeri Kedan dan Perlis, Bukit Malut di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, Mohd Zawawi berkata hasil rampasan dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Kedah dan Perlis Bukit Malut untuk tindakan lanjut, dan kes disiasat mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA