Penerbangan Malaysia (MAS) perlu melakukan pelbagai perubahan dalam usaha menjadikan perniagaannya berdaya maju.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pihaknya akan menemui pengurusan MAS bagi membincangkan pelan pemulihan radikal syarikat penerbangan nasional itu.

"MAS perlu melakukan transformasi. Mereka kini melalui tempoh yang sukar dan mereka akan memberi taklimat kepada saya tidak lama lagi," katanya.

Sebelum ini, Pengerusi MAS, Tan Sri Md. Nor Md. Yusof berkata, pihaknya akan terus mengadakan perubahan radikal demi mengembalikan potensi sebenar syarikat penerbangan negara itu.

Md. Nor menegaskan, ia agenda utama pengurusan syarikat itu selepas pelan pemulihan mas yang dimulakan pada 2011.

Pada 2013, kerugian MAS meningkat kepada RM1.17 bilion, hampir tiga kali lebih tinggi daripada kerugian RM433 juta yang dicatat pada 2012.

Sementara itu, Khazanah Nasional Bhd akan mengemukakan pelan untuk memulihkan MAS dalam tempoh setahun dan ketika ini semua pilihan sedang diberi pertimbangan.

Khazanah Nasional memiliki 69.4 peratus kepentingan ekuiti dalam MAS.

MAS merupakan antara syarikat penerbangan terbaik dunia. Daripada ratusan syarikat penerbangan yang dinilai firma perunding Skytrax di seluruh dunia, hanya tujuh dikelaskan sebagai syarikat penerbangan lima bintang, dan MAS adalah satu daripadanya.

Faktor utama mendapatkan lima bintang adalah keupayaan syarikat penerbangan memberikan perkhidmatan dan produk berkualiti tinggi secara amat konsisten, menurut Skytrax berpusat di Britain.

Antara anugerah diterima MAS adalah Kru Kabin Terbaik Dunia (2001–2004, 2007, 2009, 2012), Syarikat Penerbangan 5-Bintang (2005–2007, 2009, 2012), Anugerah Kelas Ekonomi Terbaik Dunia (2010) dan Syarikat Penerbangan Peneraju Asia (2010, 2011).