PAS Pusat yakin masalah pembahagian jawatan exco di Selangor akan dapat diselesaikan secepat mungkin dan tidak akan menganggu kerjasama Pakatan Rakyat negeri tersebut serta tidak akan menjejaskan pentadbiran kerajaan negeri Selangor.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub menjelaskan PAS Pusat telah menyerahkan kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan Pakatan Rakyat Selangor untuk berbincang mengenai pembahagian jawatan exco di negeri tersebut.

"Kita (PAS Pusat) telah beri kepercayaan kepada pimpinan Pakatan Rakyat Selangor untuk berbincang dan seterusnya menyelesaikan soal pembahagian jawatan exco di Selangor.

"Sebarang masalah yang timbul akan diselesaikan oleh pimpinan Pakatan Rakyat peringkat negeri dan saya rasa PAS Pusat tidak perlu campur tangan dalam soal pembahagian jawatan exco kerajaan Selangor," katanya ketika dihubungi Astro Awani.

Isu jumlah komposisi barisan exco Selangor timbul ekoran kenyataan yang dibuat oleh Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua bahawa perkara tersebut akan dibincangkan semula dengan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Komposisi barisan exco Selangor menggunakan formula 4:3:3 (PAS: DAP: PKR) yang memberikan kelebihan kepada PAS berbanding DAP dan PKR. Pembahagian ini menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan pimpinan DAP Selangor yang merasakan parti itu seharusnya mendapat empat kerusi Exco berbanding tiga yang diumumkan Abdul Khalid dan jawatan speaker DUN.

Mengulas perkara ini, Timbalan Pesuruhjaya III PAS Selangor, Khalid Abdul Samad dipetik sebagai berkata kenyataan yang dikeluarkan oleh Tony Pua itu sebagai salah faham mengenai pembahagian barisan exco negeri yang dibuat mengikut nisbah 4:3:3.

Beliau berkata, dalam mesyuarat yang diadakan pada Khamis lalu Pakatan Rakyat Selangor telah membuat dua opsyen mengenai senarai nama Exco untuk dihantar kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Menurutnya, salah satu opsyen itu menyenaraikan lima Exco daripada calon Melayu dan lima daripada bukan Melayu.

Beliau turut menjelaskan opsyen menjadi pilihan baginda mungkin daripada enam calon Melayu dan empat calon bukan Melayu di mana Pas mendapat empat tempat di dalam Exco Selangor.