KUALA LUMPUR: Masalah kesihatan mental sehingga mempunyai perasaan ingin membunuh diri memerlukan tindakan tertentu bagi mengurangkan jumlah kematian yang menyayat hati akibat pembunuh senyap itu.

Penaung Befrienders KL, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, terdapat beberapa tindakan yang boleh diambil untuk membantu mereka yang mula kehilangan harapan terutama ekoran situasi negara yang kini berdepan dengan pandemik COVID-19.

"Antara langkah yang boleh diambil ialah memperlihatkan keprihatinan kita kepada seseorang sama ada secara minimal ataupun tanpa sedar selain mewujudkan ruang dan peluang untuk mereka yang mempunyai pemikiran ingin membunuh diri untuk meluahkan perasaan.

"Bahkan komunikasi yang minimal dan kelihatan seperti remeh sebenarnya mampu mencetuskan semangat untuk kembali meneruskan kehidupan kerana dapat mengurangkan tekanan jiwa yang mereka hadapi," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Bersempena Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia yang disambut hari ini dengan tema 'Bertindak Segera, Harapan Terbina', beliau berkata tema tersebut adalah seruan untuk semua pihak menggembleng tenaga mengambil tindakan yang sewajarnya dan bergerak sebagai satu pasukan dalam melakukan pemerhatian serta bekerjasama menangani masalah kesihatan mental dan kes bunuh diri.

Befrienders merupakan sebuah pertubuhan bukan berdasarkan keuntungan yang menyediakan khidmat sokongan emosi 24 jam setiap hari kepada mereka yang mengalami kemurungan dan mempunyai niat untuk membunuh diri.

Lee yang juga Ahli Majlis Penasihat Promosi Kesihatan Mental berkata purata empat kes bunuh diri dilaporkan setiap hari antara Januari hingga Mei tahun ini dan ia menyaksikan peningkatan yang timbul ketika pandemik COVID-19 yang berpunca daripada kesihatan mental.

Dilaporkan hingga Julai tahun ini, sejumlah 638 kes bunuh diri dilaporkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) berbanding 262 kes bagi tempoh sama pada 2020 iaitu peningkatan sebanyak 143 peratus atau 1.4 kali lebih banyak. -- BERNAMA



* Befrienders adalah sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang menyediakan khidmat sokongan emosi 24 jam sehari, 7 hari seminggu, kepada mereka yang mengalami kemurungan dan mempunyai niat untuk membunuh diri.

* Befrienders boleh dihubungi di talian 03-7627 2929 atau e-mel kepada [email protected] selain di laman sosial Facebook, Twitter, Instagram dan YouTube untuk bantuan.