Rakyat Malaysia digalakkan menceburi bidang keusahawanan kerana ia bukan sahaja dapat menjana pendapatan, malah mewujudkan peluang pekerjaan untuk orang lain, kata perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata kerajaan mahu Malaysia terus menjadi negara maju, terutama dari segi ekonomi dan sosial.

"Dalam mencapai matlamat itu, kita inginkan masyarakat yang serba boleh atau pun ''all-rounder''," kata beliau dalam ucapannya pada Majlis Pelancaran Aplikasi NJOI Now, di sini, hari ini.

Teks ucapan perdana menteri dibacakan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Najib berkata golongan belia merupakan pengguna terbesar digital kerana mereka merupakan generasi yang memberi keutamaan kepada informasi yang mudah didapati menerusi peranti digital masing-masing.