PAS mengumumkan pelantikan Timbalan Presiden parti, Mohamad Sabu sebagai Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang.

Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar memberitahu Bernama pelantikan Mohamad, yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu, bagi memenuhi kekosongan jawatan itu di Pulau Pinang.

"Seperti di negeri-negeri lain, pelantikan Mat Sabu juga bagi memberi ruang kepada muka baharu di Pulau Pinang," katanya ketika dihubungi Bernama Selasa.

Mahfuz berkata pelantikan ini bagi penggal 2013-2015 sehingga muktamar PAS akan datang.

Di BUTTERWORTH, bekas Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang Datuk Mohd Salleh Man mahu pemimpin dan anggota parti itu memberikan kerjasama kepada Mohamad sebagai Pesuruhjaya PAS negeri yang baharu.

Mohd Salleh yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir berkata keputusan PAS pusat untuk melantik Mohamad adalah tepat.

"Tujuh tahun saya menerajui kepimpinan PAS Pulau Pinang dan sudah tiba masanya untuk memberi peluang kepada pemimpin seperti Mat Sabu memimpin pucuk pimpinan PAS di negeri ini dan saya sedia bekerjasama dengan beliau.

"Saya juga berharap beliau dapat mengukuhkan hubungan antara tiga parti yang berada dalam kerajaan Pakatan Rakyat supaya tidak merencatkan agenda PAS di negeri ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, Mohd Salleh yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) berkata Pejabat Mufti Negeri Pulau Pinang belum menerima sebarang aduan atau laporan mengenai gerakan penyebaran fahaman Syiah di negeri ini.

Katanya MAINPP sentiasa memantau perkara kegiatan fahaman itu dan sebuah jawatankuasa telah ditubuhkan untuk melaksanakan beberapa kaedah bagi menyekat penyebaran fahaman Syiah di negeri ini.