MELAKA: Keindahan dan keunikan terumbu karang di kawasan Taman Laut Melaka yang terdiri daripada tiga pulau iaitu Pulau Undan, Pulau Nangka dan Pulau Dodol akan diketengahkan sebagai salah satu tarikan baharu dalam merancakkan lagi promosi Sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024).

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata kerajaan negeri bersama Jabatan Perikanan dan Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) mengambil langkah diperlukan termasuk menaik taraf kemudahan dan fasiliti untuk menyambut pelancong yang akan berkunjung ke situ.

"Pulau yang diwartakan taman laut ini pada April lepas antara kawasan yang tercantik di sebelah pantai barat dengan keindahan terumbu karang yang berwarna warni dan amat sesuai untuk menjalankan aktiviti air seperti snorkel dan selam skuba.

Selain itu kerajaan negeri juga akan menganjurkan pelbagai aktiviti riadah dan sukan air seperti Piala Regata ASEAN di Marina dan sebagainya dalam jadual TMM 2024 yang akan diumumkan kelak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Pelekat Kenderaan Promosi TMM 2024 di Kompleks Seri Negeri, di sini pada Rabu.

Hadir sama Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman dan Pengurus Besar BPP Melaka Sa'ari Basiron.

Ab Rauf berkata kerajaan negeri juga akan melaksanakan promosi TMM 2024 ke peringkat antarabangsa di beberapa negara seperti Itali, Emiriah Arab Bersatu, Filipina dan Jerman.

Katanya usaha itu antara strategi untuk menarik ke ramai pelancong luar negara ke Melaka bagi menjayakan TMM 2024 dalam memperkasakan industri pelancongan Melaka yang merupakan penyumbang tertinggi ekonomi negeri ini.

"Sambutan yang diterima semasa kempen promosi berkenaan amat baik dan menggalakkan dan kerajaan negeri juga sedang mempergiat usaha termasuk melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memperindah serta menaik taraf produk-produk pelancongan sebagai persediaan untuk tahun depan," katanya.

-- BERNAMA