SERI KEMBANGAN: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming membayangkan Pilihan Raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tidak akan diadakan dalam tempoh empat tahun akan datang, iaitu sehingga tamat tempoh penggal pentadbiran kerajaan MADANI.

Sebaliknya beliau menegaskan, akan terus memfokuskan tujuh agenda utama untuk digerakkan dengan berkesan sebagai teraju baharu di kementerian itu.

"Mengenai Pilihan Raya PBT, jawapan saya konsisten. Keutamaan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada waktu ini adalah memfokus kepada tujuh agenda yang saya umumkan pada hari pertama saya memikul amanah dan tanggungjawab sebagai Menteri KPKT.

"Negara baru sahaja pulih daripada pergolakan politik pada Julai lalu (Pilihan Raya Negeri). Sekarang adalah waktu untuk meredakan suhu politik dan mefokuskan kepada kerja-kerja yang memberi manfaat kepada rakyat," katanya pada sidang media lepas mengadakan lawatan kerja ke Pasar Bazar Rakyat, di sini pada Khamis.

Mengulas lanjut, Kor Ming memberitahu, perkara itu juga sudah dibincangkan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Zaliha Mustafa dan beliau konsisten dengan keputusannya.

Katanya, Pilihan Raya PBT yang dimansuhkan kuatkuasanya sejak 1976 itu bukan keutamaan kepada KPKT.

"Saya sentiasa berinterasi dengan YB Zaliha, kakak saya dan kami bekerja sebagai satu pasukan. Jawapan kami konsisten," jelasnya.

Baru-baru, dalam Konvensyen DAP Wilayah Persekutuan, Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan, Tan Kok Wai mencadangkan supaya mengembalikan Pilihan Raya PBT sebagai usaha bagi memperkukuh demokrasi di Wilayah Persekutuan.

Cadangan itu bagaimanapun dibantah Pas yang menyifatkan cadangan itu berbahaya dan boleh menyebabkan monopoli kaum disebabkan pecahan populasi mengikut kaum tidak seimbang khususnya di Wilayah Persekutuan.

Dalam pada itu, Pakar Perlembagaan, Prof Madya Muhammad Fathi Yusof dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sebelum ini menjelaskan, Pilihan Raya PBT  tidak boleh dilaksanakan kerana peruntukkan mengenai pilihan raya itu dalam Akta Pilihan Raya Kerajaan Tempatan (Akta 473) sudah dimansuhkan dan dihenti kuatkuasanya sejak 1976.

Ia selepas subseksyen 15(1) Akta Kerajaan Tempatan 1973 (Akta 171) yang memperuntukkan mengenai pilihan raya kerajaan tempatan dalam Akta 473 sudah tidak terpakai.

Malah, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga tidak boleh melaksanakan Pilihan Raya PBT kerana Seksyen 10 Akta 171 menetapkan pelantikan keanggotaan Ahli Majlis PBT dibuat secara lantikan.