Dalam usaha memmastikan PAS mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau, calonnya Mohd Azam Samat menjadikan agneda membangunkan infrasruktur dan prasarana yang agak terbiar di DUN tersebut sebagai bahan kempennya.

Mohd Azam berkata, ia merupakan agenda utama dalam usaha mendapatkan sebanyak mungkin undi bagi membolehkan beliau dipilih mewakili penduduk kawasan tersebut dalam sidang DUN.

"Untuk agenda pertama, kita tengok ada beberapa perkara yang perlu diambil tindakan segera seperti memperbaiki jalan-jalan yang rosak khususnya di kawasan Dulang dan juga kawasan-kawasan di sekitarnya," kata Mohd Azam kepada Astro AWANI.

Selain dari itu, beliau akan terus meneruskan agenda pembangunan di DUN Sungai Limau yang mungkin telah dirancang oleh kerajaan terdahulu.

"Saya harap ianya dapat saya teruskan dan dalam tempoh berkempen ini saya akan turun dan mendengar masalah, rintihan samada pemuda, pemudi, orang yang bekerja sendiri, petani dan sebagainya agar hasrat dan kehendak mereka dapat dicapai," katanya lagi.

Beliau begitu terharu dengan sokongan yang diberikan oleh pimpinan PAS dan Pakatan Rakyat, dan bertekad untuk memastikan DUN Sungai Limau yang merupakan antara kubu kuat PAS di Kedah tidak jatuh ke tangan Barisan Nasional (BN).

Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Yusof memberi teguran kepada para penyokong luar calon parti bertanding pada PRK DUN Sungai Limau.

Jelasnya masyarakat di sini amat menghormati sesama mereka jadi kesemua penyokong terutamanya penyokong luar perlu menghormatinya.

"Saya harap penyokong terutamanya dri luar hormat budaya sini. Semua disini hormat masing-masing dan nilai murni," kata Abdul Aziz sewaktu di temui di pusat penamaan calon di Dewan Datuk Madi, Yan Kedah.

Beliau berpuas hati dengan persiapan PRK Sungai Limau dan berharap proses itu berjalan lancar dari tempoh kempen sehingga pemilihan 4 November ini.